Utusan Borneo (Sabah)

Penjenayah tegar ditangkap lagi bersama isteri

-

KUCHING: Seorang penjenayah tegar ditangkap sekali lagi bersama isterinya selepas didapati memandu sebuah kereta curi awal pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Padawan Superinten­den Aidil Bolhassan berkata, suspek yang berusia 54 tahun dan berasal dari Kampung Sungai Duuh, Siburan ditangkap selepas terlibat kemalangan berdekatan Telaga Air sekitar jam 1.15 pagi.

Menurutnya, anggota unit Kereta Peronda Polis (MPV) terpaksa mengejar kereta yang dipandu suspek dari Jalan Rubber Barat di sini selepas dilihat mencurigak­an.

“Suspek tidak memberi kerjasama semasa ditahan untuk pemeriksaa­n dan terus memecut laju keretanya ke arah Jalan Satok sehingga ke persimpang­an lampu isyarat Telaga Air.

“Cubaan suspek untuk terus melarikan diri tidak berjaya apabila keretanya hilang kawalan lalu berpusing melanggar tiang lampu dan terbabas berdekatan persimpang­an Kolong di Jalan Matang.

“Suspek dan isterinya terus ditangkap dan pemeriksaa­n lanjut mendapati kereta yang dinaiki mereka pernah dilaporkan hilang di Taman Desa Wira,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Aidil memberitah­u antara barangan yang ditemui di dalam kereta tersebut ialah empat kotak automotif amplifier dan dua nombor kenderaan yang berbeza.

“Hasil siasatan awal, keduadua suspek tidak mengaku mencuri kenderaan tersebut dan memberitah­u kereta tersebut disewa daripada seseorang tetapi suspek enggan mendedahka­n ia disewa daripada siapa dan di mana,” katanya.

Suspek sebelum ini beberapa kali pernah ditangkap atas pelbagai kesalahan jenayah yang antaranya terlibat aktiviti penyalahgu­naan dadah, samun berkumpula­n, curi kenderaan dan pecah rumah.

“Manakala suspek wanita juga pernah ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” kata Aidil.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia