Utusan Borneo (Sabah)

Peniaga jual nasi ayam hainan murah, galak masyarakat ‘berinfak’

-

ALOR SETAR: Seorang peniaga nasi ayam Hainan, di sini mengambil inisiatif menjual makanan itu pada harga murah iaitu RM2.90 untuk setiap hidangan bagi menggalakk­an masyarakat berinfak (bersedekah) terutama di bulan Ramadan ini.

Ahmad Safuan Ahmad Sabri, 29, yang menjalanka­n perniagaan sejak 2010 di Taman Pelangi, Jalan Kuala Kedah berkata, dia mula terfikir untuk menjual nasi ayam dengan harga murah apabila terbaca satu artikel di laman sosial mengenai kelebihan memberi sedekah kepada orang yang berpuasa.

“Kebiasaann­ya nasi ayam dijual pada harga RM4 sebungkus tetapi sempena bulan Ramadan ini, kami jual pada harga yang lebih murah dengan tujuan mengajak orang ramai membeli dan bersedekah kepada masjid, surau mahupun pusat tahfiz.

“Saya telah berbincang dengan isteri (Siti Nuraisya Masuri, 29) dan selepas mendapat persetujua­n bersama, kami mula menjual nasi ayam dengan harga RM2.90 sejak hari ketiga puasa lalu,” katanya ketika ditemui digerainya di sini baru-baru ini.

Ahmad Safuan berkata, bagi menarik lebih ramai pengunjung ke gerainya menggunaka­n platform media sosial mempromosi mengenai makanan itu dan hasilnya amat menggalakk­an.

“Setiap hari ada sahaja tempahan infak yang diterima. Bagi jumlah minimum yang kami terima adalah sebanyak 30 bungkus dan ia boleh mencecah sehingga 500 bungkus dan kami turut menyediaka­n servis penghantar­an percuma di sekitar Alor Setar.

“Kebiasaann­ya nasi yang diinfak itu akan dihantar ke masjid, surau atau pusat tahfiz tetapi sekiranya penyumbang tidak tahu ke mana untuk menginfakk­an nasi tersebut, kami akan membantu memberi cadangan,” katanya.

Beliau berkata walaupun nasi yang diinfakkan pada harga lebih murah, namun kualiti dan kuantiti yang disediakan tetap sama dengan harga nasi yang dijual pada harga RM4.

“Walaupun keuntungan yang diperolehi tidak banyak, tetapi apabila jumlah tempahan meningkat sekali ganda, pulangan yang kami dapat tetap sama seperti penjualan pada harga biasa,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia