Utusan Borneo (Sabah)

Tambah baik kadar elaun cabaran atlet tingkat prestasi

-

MELAKA: Keprihatin­an kerajaan negeri Melaka terhadap perkara berkaitan atlet di negeri ini dalam menambah baik struktur elaun perlu dianggap sebagai cabaran dan suntikan motivasi kepada mereka dalam usaha meningkatk­an prestasi dalam sukan yang diceburi.

Exco Komunikasi, Multimedia, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembanguna­n Belia dan Sukan Melaka, Kerk Chee Yee berkata aspek kebajikan menjadi penekanan utama kerajaan negeri bagi memastikan atlet memberi tumpuan kepada latihan tanpa adanya gangguan perkara luar.

“Kita bukan sahaja ingin menghargai usaha dan kegigihan mereka dalam penglibata­n acara sukan, namun aspek yang sangat penting adalah bagaimana kita mahu membantu atlet ini dengan meningkatk­an motivasi mereka supaya lebih fokus untuk menghadapi pelbagai kejohanan.

“Bagi merealisas­ikan hasrat itu, kita menambah baik struktur elaun untuk atlet dan jurulatih negeri ini sebagai suntikan awal dalam usaha memastikan Melaka dapat memperbaik­i prestasi pada Sukma (Sukan Malaysia) 2020 di Johor.

“Ada beberapa dasar yang telah ditetapkan mengikut kategori terutamany­a dalam acara ‘mainstream’ termasuk penyertaan ke sukan Olimpik, Komanwel, SEA, ASEAN dan Sukma dan sekiranya atlet berjaya merangkul pingat emas, perak dan gangsa mereka layak menerima insentif ini,” katanya kepada Bernama.

Kerk berkata pembanguna­n sukan secara efektif di peringkat akar umbi diyakini mampu melahirkan atletatlet berpotensi tinggi dalam melakarkan kejayaan di pentas antarabang­sa.

Pada temasya Sukma Perak 2018, Melaka menduduki tempat ke-11 dengan pungutan 18 emas, 18 perak dan 19 gangsa.

Beliau dalam pada itu berkata, kerajaan negeri akan bekerjasam­a dengan Kementeria­n Belia dan Sukan bagi memastikan prasarana sukan di negeri ini dapat dipertingk­atkan pada masa akan datang.

Pada April lepas, kerajaan negeri Melaka mengumumka­n penambahba­ikan kadar baharu bayaran elaun kepada atlet dan jurulatih negeri ini yang akan menyertai Sukma di Johor dan kadar baharu bayaran elaun kepada atlet itu pula dibahagika­n kepada dua iaitu Elaun Asas Sukma dan Projek Emas.

Elaun Asas Sukma ditetapkan pada kadar RM200 sebulan, manakala atlet yang layak masuk ke Projek Emas ditambah RM300 sebulan, manakala elaun untuk mereka layak ke projek lain iaitu Projek Perak ditambah RM100 sebulan dan elaun untuk Projek Gangsa ditambah RM50 sebulan.

Bagi jurulatih, tambahan elaun akan diberikan antara RM50 dan RM900 mengikut kelayakan Skim Persijilan Kejurulati­han Kebangsaan (SPKK) iaitu Sijil Sains Sukan dan Sijil Kejurulati­han Spesifik, RM900 bagi jurulatih sepenuh masa, manakala RM50 hingga RM350 mengikut SPKK. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia