Utusan Borneo (Sabah)

Penternak ikan didakwa beri suapan kepada penjawat awam

-

KOTA KINABALU: Seorang penternak ikan didakwa memberikan suapan kepada seorang penjawat awan supaya membebaska­n pekerja warga asing yang ditahan.

Ng Teck Huat, 41, yang didakwa atas pertuduhan utama dan alternatif bagaimanap­un mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan alternatif, tertuduh memberikan suapan RM4,000 kepada seorang pegawai Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (APMM), supaya membebaska­n awak-awak sangkar ikan yang disyaki melakukan kesalahan imigresen, kerana tidak memiliki permit yang sah.

Kesalahan dilakukan pada 21 April 2012 jam 7.30 malam di tandas Dewan Gerak Wawasan Kampung Palu-Palu, daerah Kuala Penyu.

Ng didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan penjara selama tempoh tiga tahun dan denda.

Sementara pertuduhan utama, tertuduh melakukan kesalahan sama dan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana nilai yang tinggi.

Terdahulu Timbalan Pendakwara­ya Rozanna Abdul Hadi menyatakan tuduhan asal mengikut akta SPRM tidak boleh diberikan ikat jamin.

Jika mengikut budi bicara mahkamah, beliau mencadangk­an ikat jamin sebanyak RM15,000 diberikan kepada tertuduh dan pasport antarabang­sa diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan terbabit dikurangka­n antara RM2,000 hingga RM3,000 kerana kekangan kewangan yang dialaminya.

“Sekarang ini saya juga mempunyai pelbagai hutang. Isteri tidak bekerja dan kami mempunyai empat anak yang masih kecil.

“Hari ini (Jumaat) saya hanya membawa RM2,000. Jika boleh saya tidak mahu ditahan, kerana masalah ekonomi keluarga saya agak susah,” katanya sambil menahan tangisan.

Tambahnya, dirinya berada dalam jaminan SPRM dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam tempoh dua bulan.

Abu Bakar menetapkan pengurusan kes pada 8 Julai terhadap tertuduh yang diberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 deposit RM7,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Selain itu, pasport antarabang­sa harus diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM sekali dalam tempoh tiga bulan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia