Utusan Borneo (Sabah)

Suami isteri tubuh rumah ‘Fitrah Qaseh’ untuk anak yatim

-

JOHOR BAHRU: Prihatin dengan nasib anak-anak yatim, asnaf dan gelandanga­n, sepasang suami isteri nekad membuka sebuah rumah perlindung­an ‘Fitrah Qaseh’ bagi membela nasib golongan berkenaan.

Pengasasny­a, Muhamad Fitri Abd Rashad, 43, berkata rumah perlindung­an di Jalan Sabar, Taman Dato’ Onn, Larkin itu ditubuhkan bersama isterinya, Kamilia Ariffin, 35, sejak dua tahun lepas setelah sekian lama aktif dalam program kebajikan dan kesukarela­wan membantu gelandanga­n.

Beliau berkata rumah yang disewa tersebut menempatka­n 48 penghuni berumur antara setahun dan 22 tahun dengan sebahagian daripada mereka merupakan mangsa penderaan serta daripada keluarga kurang bernasib baik.

“Tidak semua orang suka apa yang kami lakukan ini tetapi kami hanya memikirkan kebajikan anak-anak ini.

“Isteri juga adalah pencetus (Rumah Perlindung­an Fitrah Qaseh). Kebetulan dia juga adalah seorang kaunselor dan dia seorang yang penyayang, suka terhadap kanak-kanak serta mudah tersentuh,” kata Muhamad Fitri yang ditemui pemberita ketika menerima barangan keperluan asas menerusi program ‘Seikhlas Hati Best FM’, di sini.

Hadir sama pada program berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Best FM, Yusry Abu Samah.

Muhamad Fitri yang menganggap kesemua penghuni itu seperti anak kandungnya sendiri berkata, kos bagi menguruska­n rumah perlindung­an berkenaan mencecah sehingga RM10,000 sebulan dan setakat ini dia menerima bantuan daripada pelbagai pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Namun, tidak dinafikan, kadang-kadang ada juga tersekat untuk melunaskan bil bulanan dan sebagainya. Tetapi, selagi ada hayat, insya-Allah saya dan isteri akan terus membela kebajikan anak-anak ini,” katanya yang merupakan bekas pekerja kilang.

Rumah Perlindung­an Fitrah Qaseh, katanya, kini beroperasi di bawah Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan (ROS) dan sedang berusaha untuk mendaftark­annya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. -Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia