Utusan Borneo (Sabah)

Jurulatih menyelam pesan ayah tunai ibadah haji

-

TAWAU: Jurulatih menyelam Zainal Abdun yang maut ketika menyelam bersama dua pelancong asing di Pulau Kalapuan, Jumaat, kerap berpesan kepada ayahnya supaya menunaikan ibadah haji.

Berkongsi perkara itu sambil menitiskan air mata, Abdun Jamalun, 50, berkata anaknya Zainal, 31, yang dipanggil Bola itu sering mengingatk­annya mengenai ibadah haji setiap kali bertemu.

“Saya jawab kepadanya (arwah) saya kumpul duit dulu, mahu pergi bersama mama mu...saya tidak sangka dengan pemergiann­ya sebab dia sudah lama dalam bidang (menyelam) ini lebih 10 tahun,” katanya kepada Bernama.

Abdun berkata kali terakhir bertemu anaknya itu pada 8 malam Khamis lepas di jeti pelanconga­n di sini.

“Saya ambil anak bongsu dari sekolah dan tiba di rumah lebih kurang 6 petang, saya terima panggilan daripada kawan di kampung memberitah­u anak sulung saya yang lemas dan berada di jeti,” katanya.

Menurutnya, anak lelakinya itu juga sering mengingatk­annya supaya tidak selalu ke Kota Kinabalu dan berehat daripada bekerja serta duduk di Semporna.

“Saya selalu ke Kota Kinabalu atas urusan niaga bagi menghantar tempahan hasil laut dan Zainal mahu saya berehat dan memberi perhatian kepada anak bongsu saya,” katanya.

Abdun dalam pada itu berkata, Zainal merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dan rapat dengan kesemua adikberadi­knya terutama sekali dengan adik bongsu lelaki yang juga adik tiri berumur sembilan tahun.

“Arwah seorang yang sibuk dan dia tinggal di tempat lain, kalau balik ke rumah mesti dia akan bawa adiknya keluar jalan-jalan atau makan KFC,” katanya dan menambah Zainal sudah berkahwin serta memiliki dua anak lelaki dan tiga perempuan.

“Arwah suka dengan kerjanya, dia berhenti sekolah ketika di tingkatan satu dan selepas itu berjinak-jinak dalam bidang menyelam sehingga ditauliah sebagai tenaga pengajar.

“Meskipun arwah tidak belajar tinggi tetapi dia memiliki semangat tinggi selain fasih bertutur bahasa Cina dan Inggeris sehingga memudahkan­nya bekerja dan bergaul dengan pelancong asing,” katanya.

Sementara itu, menurut Abdun ketika ini dia masih menunggu keputusan laporan bedah siasat Hospital Tawau mengenai punca kematian anaknya.

“Jenazah anak saya dihantar ke Hospital Tawau pada 1 pagi dan saya sempat ke sana dan pukul 5 pagi, saya kembali ke Semporna.

“Saya masih menunggu jenazah anak, untuk urusan pengebumia­n dijangka di Tanah Perkuburan Kampung Halo di sini,” katanya dan tidak mahu membuat spekulasi berhubung kematian anaknya yang dikaitkan angkara bom ikan.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia