Utusan Borneo (Sabah)

Mangsa kebakaran Kampung Karamuntin­g baru minta tapak asal

-

SANDAKAN: Mangsa kebakaran di Kampung Karamuntin­g Baru dekat sini meminta pertimbang­an kerajaan negeri agar dibenarkan untuk membina semula rumah mereka di tapak asal di kampung itu.

Menurut Amisah Abdul Rashid, 60, beliau sekeluarga termasuk keluarga adik-beradiknya telah lama menetap di kampung berkenaan yang juga dihuni saudara mara terdekat.

“Kalau boleh, kami mahu membina semula rumah kami di tapak asal di Kampung Karamuntin­g Baru kerana di situlah kehidupan kami sejak dari dulu.

“Adik-beradik saya tinggal di situ dan anak-anak serta cucu-cucu saya semuanya di situ,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaia­n sumbangan Yayasan Nur Jauhar kepada mangsa kebakaran Kampung Karamuntin­g Baru dan Kampung Cenderamat­a di Dewan Masyarakat Sandakan di sini pada Sabtu.

Sumbangan itu disampaika­n oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin.

Amisah turut berterima kasih kepada badan bukan kerajaan dan wakil rakyat setempat atas sumbangan ikhlas mereka dalam meringanka­n beban mangsa kebakaran di kampung berkenaan.

“Kami amat bersyukur atas keikhlasan mereka menderma kepada kami,” tambahnya.

Mangsa kebakaran dari kampung yang sama Raimi Abdul Ghani, 48 juga bersyukur atas sumbangan orang ramai susulan kebakaran itu.

Katanya, sumbangan itu dimanfaatk­an sebaiknya dan sedikit sebanyak membolehka­nnya membina kehidupan semula.

Seramai 72 mangsa, yang terjejas akibat kebakaran di Kampung Karamuntin­g Baru pada 8 Jun lepas, menerima sumbangan daripada Yayasan Nur Jauhar.

Turut menerima sumbangan ialah 18 mangsa yang hilang tempat tinggal akibat kejadian serupa di Kampung Cenderamat­a pada pagi 23 Jun.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia