Utusan Borneo (Sabah)

Belum pasti Myokymia berpunca daripada pencemaran toksik: Dr Dzulkefly

-

PORT DICKSON: Punca penyakit dihidapi Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, belum dapat dipastikan sama ada ia mempunyai kaitan dengan pencemaran toksik dari Sungai KimKim, Pasir Gudang, Johor.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Myokymia yang dihidapi Irfan Wafiy tidak semestinya berpunca daripada bahan kimia justeru beliau akan melawat keluarga Irfan Wafiy bagi memberi penjelasan yang lebih teliti bersama pakar Paediatrik Neurologi.

“Saya akan melawat keluarga Irfan Wafiy dalam masa terdekat ini sekali gus untuk memberi penjelasan. Saya akan ambil semua tanggungja­wab untuk pastikan ibu ayah Irfan Wafiy diberikan penjelasan yang sebaiknya.

“Jangan salah faham, bila orang dengar Myokymia seolah-olah ia disebabkan kimia, tidak semestinya begitu kerana banyak kemungkina­n punca penyakit ini, akan jadi masalah kalau awam tidak berapa faham mengenai perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di sini, Sabtu.

Dr Dzulkefly dalam pada itu turut memberi jaminan bahawa Irfan Wafiy akan dirawat oleh pakar Paediatrik Neurologi.

Irfan Wafiy, anak keempat daripada lima beradik disahkan menghidap Myokymia iaitu penyakit saraf seakan-akan Parkinson yang dipercayai selepas terdedah dengan pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Pasir Gudang, Mac lepas.

Pada 7 Mac, 103 pelajar dan penduduk di sekitar Sungai Kim Kim sakit dan dimasukkan ke hospital akibat terhidu gas beracun. Selepas penyiasata­n awal dibuat, pihak berkuasa mengenal pasti puncanya ialah daripada bahan kimia yang dibuang ke dalam Sungai Kim Kim.

Pada 11 Mac 2019, gelombang kedua tindak balas gas beracun daripada bahan kimia di Sungai Kim Kim bermula. Seramai 106 mangsa baharu dimasukkan ke hospital dengan jumlah mangsa mencecah 1,000 orang beberapa hari kemudian, dan lapan daripadany­a dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Pada 20 Jun pula, pelajar sekolah di Pasir Gudang mengalami gejala sesak nafas dan Kementeria­n Kesihatan dalam kenyataan berkata sehingga 5 petang semalam, kumulatif kes kejadian sesak nafas di Pasir Gudang ialah 1,138 orang iaitu 1,093 menerima rawatan pesakit luar dan 45 orang dimasukkan dalam wad dan tiada kes baharu dilaporkan. Bernama

 ??  ?? DR DZULKEFLY (dua, kiri) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana, pada Sabtu. Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri). -Gambar Bernama
DR DZULKEFLY (dua, kiri) melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Port Dickson di Pantai Saujana, pada Sabtu. Turut hadir, Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri). -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia