Utusan Borneo (Sabah)

Generasi muda digalak libatkan diri dalam aktiviti silang budaya

-

NIAH: Generasi muda digalak melibatkan diri dalam aktiviti silang budaya agar mereka lebih memahami budaya dan adat tradisi kaum-kaum lain.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata, pendedahan ini penting kerana pengalaman itu tidak dapat diperolehi melalui buku teks sebaliknya perlu dilalui sendiri.

Beliau berkata, apabila seseorang itu memahami budaya orang lain dapat mengelak rasa syak wasangka seterusnya menggalakk­an semangat toleransi.

“Kerana jika tidak faham kita cenderung mengejek budaya orang lain. Apabila kita faham inti pati budaya orang lain, ia dapat mewujudkan persefaham­an.

“Melalui persefaham­an ini, maka kita dapat melahirkan masyarakat hidup dalam aman damai. Kita tidak perlu berasa was-was dengan kaumkaum lain di sekeliling,” katanya pada Program Titian Integrasi Hari Gawai bersama penduduk Rumah Panjang Michael Balo, Skim Rancangan Sepupuk, Niah pada Sabtu.

Program itu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sarawak dan melibatkan 78 pelajar dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bekenu itu berkata, sebagai contoh amalan kunjung mengunjung­i semasa perayaan Gawai Dayak, masyarakat beragama Islam di negeri ini tidak perlu berasa bimbang kerana kedua-dua kaum sudah saling memahami dan tahu apa yang perlu dilakukan.

Dalam konteks ini, Rosey memuji usaha JPNIN menganjurk­an Program Titian Integrasi Hari Gawai disertai pelajar-pelajar berasal dari Semenanjun­g Malaysia, Sabah dan Wilayah Persekutua­n.

“Pelajar-pelajar bertuah kerana diberi pendedahan dan pengalaman melihat serta merasai sendiri pengalaman menyambut Gawai dan melihat tradisi masyarakat di Sarawak dan pengalaman ini tiada dalam buku.

“Dahulu ada yang takut ditugaskan ke Sarawak dan bertanya sama ada orang di sini masih tinggal di atas pokok. Justeru, program seumpama ini amat baik untuk mengikis persepsi pihak luar yang tidak tepat,” jelasnya.

Beliau berharap pengalaman ini dapat dikongsika­n bersama rakan-rakan dan keluarga masing-masing apabila balik ke tempat masing-masing.

Beliau menambah, penganjura­n program melibatkan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi ini wajar diteruskan untuk menguatkan jati diri mereka.

“Graduan di institusi tinggi bakal menjadi pemimpin negara, justeru mereka perlu mempunyai jati diri kuat agar dapat bertugas walau di mana sahaja,” katanya.

Hadir sama Pengarah J P NI N Negeri Sarawak Dirwana Azool dan Timbalanny­a Esther Dingkawan serta Tuai Rumah Michael Balo.

Majlis turut dimeriahka­n dengan persembaha­n ngajat, pertanding­an kumang dan keling dan memotong ‘ranyai.’

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia