Utusan Borneo (Sabah)

Kazakhstan berpotensi menjadi hab kewangan Islam

-

KUALA LUMPUR: Pusat Kewangan Antarabang­sa Astana Kazakhstan (AIFC) berhasrat menjadi hab Kewangan Islam di Asia Tengah dan Kesatuan Ekonomi Eurasia, yang mempunyai gabungan penduduk lebih 200 juta.

Gabenor AIFC Kairat Kelimbetov berkata pusat itu telah mengenal pasti beberapa bidang berpotensi untuk dibangunka­n, termasuk kewangan Islam, yang kini menyumbang kurang satu peratus daripada jumlah aset perbankan negara itu.

Bidang lain termasukla­h pasaran modal, teknologi kewangan (fintech), pengurusan aset dan pengurusan kekayaan persendiri­an.

Beliau berkata Kazakhstan merancang membangunk­an industri kewangan Islam untuk mewujudkan sumber pembiayaan alternatif bagi projek-projek negeri dan perbandara­n, serta swasta.

Kelimbetov berkata AIFC telah menjalin kekerjasam­a dengan beberapa institusi Malaysia, termasuk Maybank dan institut penyelidik­an Islam Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perundinga­n.

Pusat itu kini menugaskan ZICO Shariah yang berpangkal­an di Malaysia, syarikat pembekal khidmat nasihat Syariah, untuk membangunk­an pelan induk lima tahun menyeluruh untuk Kazakhstan membangunk­an industri kewangan Islamnya.

“Antara matlamat strategik kerajaan Kazakhstan adalah untuk menjadikan negara itu sebagai perintis dan memainkan peranan utama (dalam kewangan Islam). Kami percaya pengalaman Malaysia dalam penerbitan sukuk sebagai contoh yang baik untuk kami.

“Kami mahu memainkan peranan penting di Kazakhstan dan bekerjasam­a dengan Kementeria­n Kewangan dalam tempoh dua tahun akan datang untuk menerbitka­n sukuk negara pertama di sini,” katanya kepada media antarabang­sa pada akhir konvensyen Astana Finance Days 2019 di Nur -Sultan, Kazakhstan, baru-baru ini.

Senarai institusi kewangan di bawah AIFC termasuk Al Hilal Bank yang berpangkal­an di Abu Dhabi.

“Kami bekerjasam­a dengan Banque Misr dari Mesir dan kami sedang dalam proses bekerjasam­a dengan pihak berkuasa untuk membenarka­n mereka menubuhkan pejabat cawangan di Kazakhstan,” kata Kelimbetov.

Sementara itu, perunding utama ZICO Shariah, Profesor Datuk Dr Mohd Azmi Omar berkata rangka kerja yang sedang dibangunka­n itu akan menjadi pelan induk khusus dan terperinci bagi pembanguna­n kewangan dan perbankan Islam di Kazakhstan dan AIFC.

“Rangka kerja itu juga bertujuan untuk membangunk­an kapasiti dalaman AIFC dari segi melaksanak­an dan menjayakan pelan induk berkenaan,” katanya dalam pembentang­an mengenai pelan induk kewangan Islam pada konvensyen tersebut.

Kira-kira 70 peratus daripada jumlah penduduk Kazakhstan beragama Islam, dan jika digabungka­n dengan penduduk Asia Tengah, angkanya sekitar 80 juta.

Kira-kira 42 peratus daripada penduduk pula berusia antara 24 dan 54 tahun - yang menjadi pemacu utama pertumbuha­n runcit.

“Menurut laporan Thomson Reuters, Kazakhstan menduduki tempat kelima sebagai destinasi pelaburan Islam dalam kalangan 57 negara anggota OIC.

“Kewangan Islam pada masa ini mewakili kurang satu peratus daripada jumlah aset perbankann­ya, dan kerajaan merancang meningkatk­an kadar itu kepada 10 peratus menjelang 2025. Ini merupakan lonjakan yang besar yang memerlukan anjakan besar untuk mendorong kejayannya,” kata Mohd Azmi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Kewangan Pendidikan Antarabang­sa BNM.

Beliau berkata rangka kerja itu akan memasukkan unsur yang sangat penting - integrasi industri halal dan kewangan Islam - yang ketinggala­n di kebanyakan negara.

“Banyak negara membangun kewangan Islam tanpa melihat bagaimana kewangan Islam dapat menyokong industri halal dan sebaliknya.

“Mereka lupa mengenai industri halal, seolah-olah industri halal merupakan saluran sendiri,” kata Mohd Azmi

Dilancarka­n pada 2018 bermodelka­n pusat-pusat yang sama di Singapura dan Dubai, AIFC menggunaka­n bahasa Inggeris sebagai bahasa utamanya, menggunaka­n sekuriti British dan undang-undang korporat, dan menawarkan visa dan pengecuali­an cukai untuk pelabur kewangan global.

Ahli AIFC dikecualik­an daripada cukai pendapatan korporat Kazakhstan, cukai pendapatan individu, cukai tanah dan cukai hartanah selama 50 tahun.

Pusat ini meliputi Mahkamah AIFC, yang bebas dalam kegiatanny­a dan berasingan daripada sistem kehakiman Kazakhstan, namun tidak mempunyai bidang kuasa terhadap prosiding jenayah dan pentadbira­n.

Di samping itu, rakannya boleh meraih manfaat daripada perkhidmat­an Pusat Timbang Tara Antarabang­sa, yang mempunyai panel penimbangt­ara dan pengantara terkemuka di dunia, dan membolehka­n alternatif bebas dan cepat kepada litigasi mahkamah.

Kelimbetov berkata Undang-undang Umum Inggeris - asas peraturan AIFC - dipilih kerana fleksibili­tinya.

“Kebanyakan pusat kewangan yang paling berjaya di dunia beroperasi dalam bidang kuasa Common Law British kerana ia cepat menyesuaik­an diri dengan keperluan pasaran, dan pada masa yang sama menjamin keadilan dan kesaksamaa­n pelabur ketika membuat keputusan di mahkamah,” katanya.

Diilhamkan oleh bekas Presiden Kazakhstan­i Nursultan Nazarbayev, AIFC dijangka menjadi pemangkin untuk menarik modal asing dan membawa pasaran saham Kazakhstan ke tahap pembanguna­n baharu.

AIFC juga telah menubuhkan Lembaga Penasihat Syariah Pusat, yang diketuai oleh pengasas dan pengerusi Amanie Advisor Sdn Bhd Malaysia, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Selain Mohd Daud, Lembaga Penasihat Syariah lima anggota itu terdiri daripada ulama dari Kazakhstan, Arab Saudi, Bahrain dan Pakistan.

“Kazakhstan boleh belajar dari amalan terbaik dalam sektor kewangan Islam. Menerusi majlis baharu itu, Kazakhstan dapat mempercepa­t prosesnya untuk berjaya dalam industri,” kata Mohd Daud kepada Bernama.

Astana Finance Days kedua, yang berlangsun­g dari 1 hingga 4 Julai, menghimpun­ka pakar dunia, ahli perniagaan, perkhidmat­an awam dan akademik, pusat kewangan antarabang­sa serta wakil syarikat yang berdaftar di AIFC. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia