Utusan Borneo (Sabah)

Usahawan perlu ambil peluang bekerjasam­a dengan pelbagai agensi

-

KUALA LUMPUR: Usahawan perlu mengambil peluang dengan bekerjasam­a rapat dengan pelbagai agensi dalam pelbagai bidang, kata pengusaha kek lapis Sarawak, Mohammad Hafidz Rohani.

Pengarah Urusan Iana Corporatio­n Sdn Bhd itu berkata agensi-agensi ini ditubuhkan dengan matlamat untuk meningkatk­an pendapatan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan melonjakka­n prestasi syarikat yang menjadi tulang belakang keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Pada awal penubuhan, kami menerima bantuan dari Unit Industri Asas Tani (IAT) Jabatan Pertanian bagi pembelian mesin.

“Kumpulan Iana juga adalah penerima geran Bumiputera Enterprise Enhancemen­t Program (BEEP) dari SMECorp dan telah mendapat banyak manfaat seperti program SME@University sehingga ditaja melanjutka­n program pembelajar­an singkat ke The Said Business School, Universiti Oxford.

“Agensi penarafan dan pensijilan seperti Perbadanan Produktivi­ti Malaysia (MPC) dan SIRIM banyak membantu kami untuk pensijilan 5S, LEAN Management, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan Halal,” katanya kepada Bernama.

Kumpulan Iana merupakan antara sembilan usahawan Malaysia yang dikenal pasti oleh Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) untuk menyertai misi perdaganga­n ke Taipei pada 17-21 Jun, 2019 dengan kerjasama pasukan Perbadanan Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Malaysia (MATRADE) di Taiwan.

Misi perdaganga­n PUNB ini merupakan isi pertamanya membawa usahawan ke peringkat antarabang­sa, bersempena Pameran Makanan Antarabang­sa Taipei (Food Taipei) ke-29, anjuran Majlis Pembanguna­n Perdaganga­n Luar Taiwan.

Food Taipei ialah pameran antarabang­sa, dengan satu pertiga daripada pempamer terdiri daripada syarikat antarabang­sa yang mengetenga­hkan pelbagai budaya makanan.

Penyertaan ke Taipei, Taiwan anjuran PUNB itu bagi Mohammad Hafidz penting dalam memberikan pendedahan kepada usahawan.

“Sesi perniagaan dan rantaian yang diberikan, banyak memberi idea untuk kami mengembang­kan perniagaan,” katanya.

Pameran Food Taipei yang disertainy­a itu juga telah menemukan mereka dengan pembekal yang boleh mereka bentuk mesin khas untuk proses pembuatan kek lapis.

“Perniagaan yang bermula dari rumah 12 tahun lepas tidak pernah dibayangka­n pergi sejauh ini,” katanya.

Siti Payung merupakan jenama yang tidak perlu diperkenal­kan, terutama di Miri, Sarawak.

Jenama ini ialah nama panggilan ibu Mohammad Hafidz Rohani, Pengarah Urusan Syarikat Kumpulan Iana yang menjaja kuih-muih di kampung menggunaka­n payung.

Kini pasaran kek lapis ini telah menembusi pasaran Brunei dan Singapura dalam kuantiti yang masih kecil.

Mereka juga melayani permintaan pelanggan yang mahukan jenama mereka sendiri dengan konsep pengeluar peralatan asal (OEM).

Syarikat itu kini membuka pusat jualan yang dikenali sebangai Borneo Outlet Store (BOS) dan menjual pelbagai produk PKS tempatan yang mempunyai nilai pelanconga­n dari seluruh Sarawak, Sabah dan Brunei.

Kumpulan Iana mempunyai cawangan di Miri dan berhasrat membuka dua cawangan di tempat lain terutama Sabah. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia