Utusan Borneo (Sabah)

Maritim Malaysia pandang serius aktiviti bom ikan

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkua­saan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memandang serius insiden maut dipercayai akibat pengeboman ikan di Pulau Kulapuan Semporna pada 5 Julai lepas.

Pengarah Maritim Negeri Sabah Laksamana Muda Maritim Kamaruszam­an Abu Hassan berkata, walaupun kejadian terbabit masih dalam siasatan, pihaknya amat memandang serius kes berkenaan.

“Sejak penghujung Mei lepas sehingga kini, Maritim Negeri Sabah menjalanka­n operasi khas untuk membantera­s aktiviti bom ikan.

“Ia membabitka­n kawasan ‘panas’ sekitar perairan Kota Belud, Mantanani dan Pulau Gaya.

“Operasi khas ini dijalankan berikutan aduan yang diterima serta maklumat risikan berhubung kegiatan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mesyuarat turut dibuat melibatkan Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Imigresen serta Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.

Katanya, salah satu isu yang dipandang serius dalam mesyuarat itu adalah aktiviti bom ikan yang didapati dijalankan oleh pendatang tanpa izin (PTI) dan selain mengenal pasti penempatan pihak terbabit.

“Insiden yang berlaku ini memberi kesan kepada komuniti maritim terutamany­a di Zon Maritim Semporna dan ia mencabar kredibilit­i pasukan keselamata­n.

“Maritim Malaysia akan bekerjasam­a dengan Kawasan Keselamata­n Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) bagi menangani masalah ini dan menggerakk­an aset serta tenaga kerja agar operasi keselamata­n yang dilaksanak­an berjalan lancar,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau turut menasihatk­an agar syarikat dan pengendali aktiviti menyelam mematuhi prosedur keselamata­n semasa menyelam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia