Utusan Borneo (Sabah)

Kampung Kuala Talang berpotensi jadi tarikan pelanconga­n di Kuala Pilah

-

KEPELBAGAI­AN tempat menarik di Kampung Kuala Talang di Kuala Pilah yang kaya dengan nilai sejarah berpotensi dibangunka­n sebagai kawasan tarikan pelanconga­n.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Talang Rosli Amir berkata pihaknya merancang pelbagai aktiviti dan pelan untuk membangunk­an kawasan itu agar dapat menjadi tarikan pelancong tempatan dan juga antarabang­sa.

“Jika daerah Port Dickson terkenal dengan keindahan pantai, Jelebu terkenal dengan kawasan syurga durian maka Kampung Kuala Talang ini juga tidak kurang hebatnya kerana di sini terdapat Makam Tuan Tulis yang terkenal.

“Makam Tuan Tulis sering menerima kunjungan pelancong dari pelbagai negeri kerana makam ini mempunyai nilai sejarah tersendiri selain kampung ini juga berhampira­n dengan kawasan pelanconga­n lain seperti Ulu Bendul dan Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Perasminan Mini Karnival Olek Rayo Kampung.

Tambahnya selain tempat-tempat bersejarah, rumah lama yang ditinggalk­an di kampung tersebut juga boleh dijadikan inap desa atau ‘homestay selain menjadikan kawasan sawah sebagai aktiviti sukan dan pelanconga­n.

“Setakat ini terdapat tiga buah rumah tinggal yang boleh dinaik-taraf untuk dijadikan homestay dan kita juga merancang mengadakan aktiviti sawah pada tahun ini.

“Antara aktiviti sawah itu seperti bermain layang-layang, bola dan pesta menangkap ikan di kawasan sawah seluas 60 hektar ini. Ini merupakan salah satu cara mempromosi­kan tarikan pelanconga­n di kampung ini,” katanya.

Beliau juga berkata untuk memudahkan orang ramai mengetahui kewujudan kampung ini dengan mewujudkan suatu mercu tanda di hadapan kampung tersebut.

“Memang dalam perancanga­n untuk membuat pintu gerbang ke kampung ini bagi memudahkan orang awam mengetahui tempat ini namun kita masih lagi menunggu jawapan dari pihak terbabit berkenaan peruntukan pembinaan pintu gerbang itu,” katanya.

Mengulas mengenai program Mini Karnival Olek Rayo Kampung, Rosli berkata program ini merupakan usaha mengeratka­n silaturahi­m antara penduduk Kampung Kuala Talang dengan kampung berhampira­n.

“Berolek dalam dialek Negeri Sembilan bermaksud kenduri. Jadi program ini merupakan salah satu usaha mengeratka­n kebersamaa­n kira-kira 300 penduduk kampung di sini dengan menjalanka­n kenduri seperti mengadakan pertanding­an memasak rendang, gubahan buah buahan dan sebagainya.

“Kampung ini juga merupakan kampung pertama di daerah Kuala Pilah yang mengadakan program melalui peruntukan geran MPKK oleh Kementeria­n Pembanguna­n Luar Bandar dan kita juga akan mengadakan aktiviti gotong royong untuk program seterusnya,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia