Utusan Borneo (Sabah)

Perkeso bantu pulih semangat Tengku Ridzwan selepas kehilangan kaki

-

KOTA BHARU: Program ‘Return To Work’ (RTW) Pertubuhan Keselamata­n Sosial (Perkeso) ibarat ‘penyelamat’ kepada Tengku Ridzwan Tengku Musa, 30, yang kehilangan kaki kiri dari paras lutut ke bawah akibat kemalangan dua tahun lepas.

Tengku Ridzwan, yang berasal dari Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu berkata beliau terbabit dalam kemalangan pada 10 Mac 2017 selepas merempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang dari rumah kakaknya di Kampung Raja, Besut bagi mengambil ubat untuk anaknya.

Akibat kemalangan terbabit beliau mengalami patah tulang pinggul, kerosakan saraf pada tangan kiri, patah tangan dan pergelanga­n tangan kiri selain kaki kirinya terpaksa dipotong.

Tengku Ridzwan yang bekerja sebagai kontraktor di sebuah syarikat telekomuni­kasi mengakui pada awal kemalangan, beliau agak gusar tentang masa depannya yang perlu menyara isteri dan tiga anaknya yang berusia antara tiga hingga lapan tahun.

Bagaimanap­un, Tengku Ridzwan berkata semangatny­a kembali pulih selepas mengetahui beliau layak menyertai program pemulihan di Pusat Rehabilita­si Perkeso Tun Abdul Razak (TRRC) di Melaka selama tiga bulan bermula Ahad.

“Alhamdulil­lah, saya berterima kasih kepada Perkeso yang akan menanggung kos pemasangan kaki palsu sekaligus memberi sinar baharu kepada penderitaa­n yang ditanggung oleh saya sejak dua tahun yang lalu.

“Saya sangat teruja untuk menjalani pemulihan ini dan ia menjadi pembakar semangat untuk saya pulih bagi membolehka­n saya kembali bekerja demi menyara keluarga,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Perkeso Kelantan Nora Yaacob menyerahka­n bantuan kerusi roda kepada Tengku Ridzwan ketika ditemui di Pejabat Perkeso Kelantan yang turut dihadiri Timbalanny­a Wan Izani Wan Isa di sini pada Ahad.

Dalam program yang sama, Tengku Ridzwan dan seorang lagi pesakit angin ahmar, Azmi Mohd Zain, 44, dari Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu, Tumpat dibawa ke TRRC, Melaka untuk dibekalkan kaki palsu yang bersesuaia­n serta menjalani rawatan intensif selama tiga bulan.

Sementara itu, Nora berkata kes Tengku Ridzwan telah dirujuk ke sidang Jemaah Doktor (JD) pada September 2018 dan disahkan layak menerima Pencen Ilat.

“JD mengesyork­an beliau menyertai program RTW dan dibekalkan kaki palsu memandangk­an beliau masih muda dan berpotensi untuk kembali bekerja dengan sihat.

“Hasil penilaian juga mendapati beliau telah mencapai tahap kesihatan yang maksimum dan membolehka­n beliau untuk menerima kaki palsu serta pencen bulanan berjumlah RM556.50 sebulan seumur hidup.

Dalam perkembang­an lain, Nora berkata pada 2018, seramai 63 individu daripada program Orang Berinsuran­s (OB) berjaya kembali bekerja membabitka­n 15 orang daripada Skim Keilatan dan 48 orang daripada Skim Bencana Kerja.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia