James mohon bantuan bina sebuah rumah selepas berlaku kebakaran
PENAMPANG: Usaha lebih 60 tahun membina rumah hasil titik peluh keluarga musnah sekelip mata dalam satu kebakaran.
Itulah nasib enam sekeluarga yang kini terpaksa menumpang di rumah keluarga lain selepas rumah mereka di Kampung BoligoKolopis, di sini, musnah terbakar, Ahad lalu.
Pemilik rumah James Juanis Majamul, 51, berkata, ketika kejadian, hanya bapanya yang berusia 90 tahun berada di rumah. Dia dan keluarganya sedang sibuk membersihkan kebun buah-buahan di Kampung Babagon yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya.
Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian itu selepas dihubungi jiran yang memaklumkan rumahnya sedang terbakar sebelum mereka sekeluarga bergegas pulang.
“Sebaik tiba, api sudah memusnahkan hampir keseluruhan rumah dan saya tidak sempat menyelamatkan harta benda termasuk dokumen penting.
“Rumah pusaka ini menyimpan banyak memori keluarga kami. Dugaan ini sangat berat, namun saya bersyukur kerana bapa saya yang sudah lanjut usia selamat dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui semalam.
James berkata, dia sangat buntu ketika ini dan berharap ada pihak yang tampil untuk membantu menghulurkan sumbangan bagi memudahkannya mendirikan semula rumah untuk mereka sekeluarga.
Katanya, dia dan keluarganya kini terpaksa bersesak di rumah adiknya kerana sudah tidak mempunyai pilihan lain.
“Semua barang musnah termasuk peralatan sekolah anak-anak saya yang berusia 13, 11 dan lapan tahun,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan PenyelamatMalaysia(JBPM) Sabah Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.06 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.
“Api berjaya dikawal pada jam 4.25 petang sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.25 petang selepas dipastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 1212 3410 0010 5713 atau menghubungi James di talian 017-8609737.