Utusan Borneo (Sabah)

AFF 2019: 4-3-3 taruhan skuad wanita ke separuh akhir

-

SEPANG: Formasi 4-3-3 menjadi taruhan skuad bola sepak wanita negara dalam misi memburu empat pasukan terbaik pada Kejuaraan Persekutua­n Bola Sepak ASEAN (AFF) 2019 di Chonburi, Thailand, pada 15 hingga 27 Ogos ini.

Ia merupakan taktikal baharu diterapkan ketua jurulatih, Jacob Joseph yang lebih menekankan corak permainan menyerang, berbanding bermain secara bertahan menerusi formasi 44-2 yang menjadi teras pasukan sebelum ini.

Jacob optimis menerusi taktikal tersebut barisan 23 pemain dengan enam daripadany­a merupakan pemain Bawah 19 Tahun (B-19) mampu memberi saingan dalam aksi kumpulan sekali gus muncul dua pasukan terbaik mara ke separuh akhir.

“Pasukan kini bermain dengan taktikal 4-3-3 untuk menghasilk­an gerakan serangan lebih dinamik serta memberi tekanan kepada lawan di kawasan mereka. Ia adalah senjata utama kita pada kejuaraan kali ini.

“Saya yakin barisan pemain yang dipilih selepas sebulan menjalani latihan intensif di Lumut ini dapat mengaplika­sikan penggunaan taktikal 4-3-3 dengan baik untuk memenangi perlawanan sekali gus mengecapi sasaran ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan membuka kempen menentang Filipina Khamis ini sebelum bertemu Singapura (19 Ogos), Timor Leste (21 Ogos) dan pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Thailand pada 23 Ogos.

Menurut Jacob, tiket separuh akhir adalah mustahak bagi pasukannya dalam kejuaraan ini untuk mencerahka­n peluang mereka beraksi pada temasya Sukan SEA Filipina 2019, November ini.

Justeru, matlamat Jacob adalah meraih tiga mata penuh dalam ketiga-tiga aksi pertama terutama menentang Filipina selain mencuri satu mata dalam pertemuan terakhir kumpulan berdepan Thailand.

“Dalam Kumpulan A, Thailand adalah pasukan pilihan dan kita telah mempersiap­kan pasukan untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri. Satu mata berdepan mereka adalah bonus terbaik buat kami.

“Kita hanya perlu melepasi Filipina di mana mereka dibarisi ramai pemain berdarah kacukan dari Amerika Syarikat. Berdasarka­n pemerhatia­n terhadap komitmen para pemain, saya yakin kita mampu mengatasi mereka sekali gus ke separuh akhir. Lagi pun kita sudah menilai tahap kekuatan, kelemahan dan barisan pemain mereka (Filipina) sejak enam bulan lepas,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia