Syarikat penerbanga­n kargo didenda RM10, 000

Langgar Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh Clarice Usop

KOTA KINABALU: Buat pertama kalinya di negeri ini, sebuah syarikat penerbanga­n kargo dikenakan denda sebanyak RM10,000 atas kesalahan di bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304).

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus membuat keputusan itu terhadap Raya Airways Sdn Bhd, selepas wakil syarikat berkenaan mengaku salah.

Jika gagal membayar denda berkenaan, penjara selama sebulan dikenakan.

Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit memiliki satu unit radas penyiaran jenis Astrophysi­cs Ins Xls100xds tanpa lesen yang sah.

Kesalahan didapati dilakukan pada 21 Februari jam 9.50 pagi di premis syarikat berkenaan di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabang­sa Kota Kinabalu (LTAKK), Jalan Tanjung Aru di sini.

Sabit salah mengikut Seksyen 12 (1)(b) Akta Perlesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dihukum mengikut Seksyen 40 (2) akta sama, penjara selama 10 tahun atau denda maksimum RM100,000, atau kedua-duanya.

Berdasarka­n fakta kes, pada 17 Januari, syarikat terbabit menghantar maklumat pemilikan radas penyiaran model berkenaan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA).

Bagaimanap­un, makluman dibuat syarikat tanpa terlebih dahulu memohon pindaan lesen sedia ada bagi menambah unit pemilikan radas model itu.

Seterusnya pada 21 Februari, sepasukan pegawai LPTA melakukan penggeleda­han ke atas syarikat berkenaan kerana disyaki memiliki satu unit radas penyiaran tanpa lesen yang sah.

Menurut peruntukan, seseorang pemegang lesen sebelum memiliki sebarang radas penyiaran, hendaklah melesenkan terlebih dahulu radas model berkaitan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Faeizal Ali dari LPTA yang melakukan pendakwaan itu berkata, kes terbabit adalah yang pertama di negeri ini sejak akta berkenaan diwujudkan.

“Mengikut pertuduhan, syarikat terbabit memiliki satu unit radas penyiaran jenis Astrophysi­cs Ins Xls-100xds tanpa lesen yang sah. ”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.