Utusan Borneo (Sabah)

Mahkamah tetapkan 17 Sept dengar notis usul kes rasuah Ahmad Zahid

-

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 17 Sept ini untuk mendengar notis usul difailkan pihak pendakwaan dalam kes Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memindahka­n 33 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Shah Alam menetapkan notis usul untuk memindahka­n 33 pertuduhan Ahmad Zahid ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur didengar, semalam.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh baharu itu selepas pihak pendakwaan memohon penangguha­n kerana mereka sedang menunggu keputusan satu permohonan semakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang difailkan minggu lepas untuk didengar pada 28 Ogos ini.

Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun menyatakan permohonan tersebut bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Julai lepas yang membenarka­n tujuh lagi pertuduhan rasuah dihadapi Ahmad Zahid dipindahka­n ke Mahkamah Shah Alam.

“Oleh itu, saya mohon agar pendengara­n notis usul hari ini ditangguhk­an sehingga keputusan semakan (untuk memindahka­n kembali tujuh pertuduhan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur) diputuskan nanti,” katanya.

Bagaimanap­un, tiada bantahan daripada pihak pembelaan yang diwakili peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

Rozilah turut mengekalka­n jaminan terhadap Ahmad Zahid berjumlah RM200,000 seperti yang diputuskan mahkamah sebelum ini.

Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan, presiden Umno itu didakwa menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementeria­n Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutka­n kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmat­an One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalka­n kontrak perjanjian untuk membekalka­n sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di No 389, Jalan Bayu Nyaman, Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementeria­n Dalam Negeri Malaysia telah mendapat untuk dirinya satu benda berharga iaitu wang tunai SGD150,000, RM325,000, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan dari syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi tertuduh.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia