Utusan Borneo (Sabah)

Keluarga wanita warga Singapura hilang ketika berkayak tiba di Hospital Kemaman

-

KEMAMAN: Anggota keluarga wanita warga Singapura yang dilapor hilang ketika berkayak di perairan Endau, di sini, Khamis lepas, tiba di Unit Forensik Hospital Kemaman.

Mereka berada di sana bagi membuat pengecaman mayat wanita yang ditemui kira-kira 12.50 tengah hari Rabu di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman oleh nelayan tempatan.

Kira-kira 15 anggota keluarga Puah Geok Tin, 57, yang menaiki empat buah kereta bernombor pendaftara­n Singapura, tiba di hospital itu pada pukul 11.45 malam dengan diiringi oleh sebuah kereta polis dan sebuah kereta Kedutaan Singapura cawangan Johor.

Tinjauan Bernama mendapati anggota keluarga itu kelihatan sugul dan berpelukan sesama sendiri. Beberapa anggota keluarga dilihat meraung selepas keluar dari bilik mayat.

Bagaimanap­un, media tidak dibenarkan merakam gambar atau video serta menemurama­h anggota keluarga itu. Difahamkan bedah siasat akan dilakukan hari ini. Khamis lepas, Puah dan seorang lelaki, Tan Eng Soon, 62, kedua-duanya warga Singapura, dilaporkan hilang pada kira-kira 5.40 petang selepas kayak dinaiki mereka terpisah dengan 13 lagi rakan mereka antara Pulau Sri Buat, Pahang dan Pulau Mertang, Mersing.

Mereka dipercayai terpisah dari kumpulan berikutan laut bergelora dan angin kuat.

Pada Rabu, kayak dinaiki kedua-dua mereka ditemui pada 12.55 tengah hari di perairan Kuantan, Pahang sebelum mayat seorang wanita ditemui nelayan pada 12.50 tengah hari semalam di kedudukan lima batu nautika timur Kuala Kemaman, Terengganu. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia