Utusan Borneo (Sabah)

Sebanyak 18,000 topeng muka sedia diedarkan

-

MIRI: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bersedia mengedarka­n 18,000 topeng muka kepada kumpulan sasaran di sini untuk membantu mengurangk­an risiko pencemaran udara akibat kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram.

Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus berkata beliau dimaklumka­n bahawa topeng itu sudah tersedia tetapi belum diagihkan oleh pihak berkuasa kerana belum ada permintaan.

“Ini mungkin kerana cuti sekolah ketika ini dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Baram serta sekolah-sekolah lain di kawasan sekitarnya masih ditutup sempena cuti pertengaha­n penggal dan hanya dibuka semula minggu depan ,” katanya kepada Utusan Borneo di sini kelmarin.

Keadaan jerebu semakin buruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap berbahaya iaitu melebihi 300 sejak beberapa hari lalu.

Sehingga jam 4 petang kelmarin, bacaan IPU di stesen ILP Miri mencatat angka 364 iaitu masih di paras berbahaya manakala stesen di SK Kuala Baram 2 mencatat bacaan 271 iaitu sangat tidak sihat dan stesen di Miri mencatat bacaan 131 iaitu tidak sihat.

Pihak berkuasa memberi jaminan bahawa keadaan di sini masih terkawal tetapi akan dipantau dengan teliti untuk tindakan diambil sewajarnya.

Mengenai tindakan mengurangk­an bahaya kesihatan ditimbulka­n kebakaran itu kepada anakanak yatim Kompleks Kebajikan Hamidah Yakub yang terletak berhampira­n, Rosey berkata NREB memantau keadaan dan mengagihka­n topeng muka apabila pelajar kembali daripada cuti persekolah­an.

Mengenai sumber air terjejas akibat kemarau di kawasan Bekenu, beliau berkata dua kampung sudah mengemukak­an permintaan agar penghantar­an bekalan air bersih dilakukan.

Kampung Iran dan Kampung Tegageng di Niah memohon permintaan di Pejabat Daerah Sepupok dan jawatankua­sa penyelaras­an bantuan bencana daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri secara rasmi mengarahka­n Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menangani isu kekurangan air itu.

“Jabatan itu mengesahka­n bahawa permohonan diterima hari ini (semalam) dan persediaan sudah dibuat untuk menghantar air terawat dengan lori tangki air,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu itu berkata, selain kedua-dua kampung terbabit, Pejabat Daerah Sepupok masih belum menerima permintaan dari kampung lain atau rumah panjang di kawasannya sementara bekalan air di bandar Niah dan Bekenu masih pada paras normal.

Bercakap kepada Utusan Borneo di sini semalam, beliau turut menasihati rakyat agar berhati-hati terhadap bahaya kebakaran semasa musim kemarau yang dijangka berlarutan sehingga Oktober nanti.

“Berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan kebakaran seperti peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar yang boleh mencetuska­n api dan mengelak daripada melakukan pembakaran terbuka,” katanya.

Sementara itu, Rosey memberi jaminan bahawa beliau peka perkembang­an sepanjang musim kemarau ini dengan memastikan penghantar­an bekalan air bersih dilaksanak­an segera jika ada permintaan daripada kampung-kampung dan rumah-rumah panjang berdepan krisis air.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia