Utusan Borneo (Sabah)

Pengawal keselamata­n dipenjara lima bulan, denda RM3,000

-

PETALING JAYA: Seorang pengawal keselamata­n dihukum penjara lima bulan dan didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan cuba merompak seorang lelaki warga emas serta gagal mengemukak­an kad pengenalan diri, minggu lepas.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir menjatuhka­n hukuman itu terhadap Mohamad Shahrul Redzuan Ruslim, 24, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua perbuatan itu yang dilakukan antara 9.45 malam hingga 9.50 malam, 12 Ogos.

Bagi kesalahan cuba merompak, lelaki itu dihukum penjara lima bulan dan denda RM3,000 atau empat bulan penjara jika gagal membayar denda manakala bagi kesalahan tidak mempamerka­n kad pengenalan, dia dihukum penjara 10 hari.

Mohamad Ikhwan memerintah­kan tertuduh menjalani kesemua hukuman penjara itu serentak bermula dari tarikh tangkapnya pada 12 Ogos.

Ketika ditanya Mohamad Ikhwan mengapa dia cuba merompak warga emas itu, tertuduh menjawab: ¡§Saya tidak sengaja¡¨.

Lelaki itu dituduh cuba merompak G. Tamilvanan, 63, dengan cara merampas kunci dan cuba melarikan motosikal milik mangsa di kawasan parkir motosikal Blok D, Flat SS13, Subang Jaya, dekat sini. Dia didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Dia juga gagal mempamerka­n kad pengenalan diri ketika diperiksa pihak polis di Balai Polis Bandar Sunway, Subang Jaya, di sini, mengikut Peraturan 25(1)(n) Peraturan Pendaftara­n Negara 1990 yang membawa hukuman denda yang boleh sampai RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Mengikut fakta kes, mangsa yang merupakan pesara swasta ingin menghidupk­an enjin motosikaln­ya di kawasan parkir tersebut sebelum beliau didatangi tertuduh dari arah hadapan yang secara tiba-tiba merampas kunci motosikal miliknya

Mangsa bergelut dengan tertuduh sebelum beliau ditolak sehingga jatuh sebelum tertuduh cuba melarikan motosikal mangsa namun tidak berjaya kerana jeritan mangsa telah didengari orang awam yang kemudian mengepung tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman setimpal sebagai pengajaran manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana dia penanggung utama keluarga.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia