Utusan Borneo (Sabah)

Tiga termasuk suami isteri maut kemalangan di Gua Musang

-

Tiga termasuk sepasang suami isteri maut dan 12 cedera apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah van dinaiki dua keluarga bertembung di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang meninggal dunia pemandu mini MPV Toyota Avanza, Che Azmi Che Hamzah, 48, dan isterinya, Nor Hayati Mohamad, 43, berasal dari Taman Mesra, di sini manakala seorang lagi yang maut adalah pemandu van Toyota Hiace tetapi namanya belum diketahui.

Dalam kemalangan kirakira jam 4.50 pagi itu, 12 mangsa yang cedera termasuk tiga anak pasangan itu, Mohamad Faris Faisal Che Azmi, 15, Mohamad Afiz Zulhilmi Che Azmi, 23, dan Nur Damia Sofea Che Azmi, 7.

Mangsa lain yang cedera adalah penumpang van iaitu Wan Zakiah Wan Abdul Razak, 39; Khaulah Zulfaizan, 11; Ahmad Zaid Zulfaizan, satu tahun; Siti Fatimah Zulfaizan,15; Muhammad Saad Zulfaizan, 3, Masyitah Zulfaizan, 14, Wawaddah Zulfaizan, 7, Sakinah Zulfaizan, 5, dan Solehah Zulfaizan, 9.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Mohd Taufik Maidin berkata kemalangan itu berlaku ketika pasangan suami isteri terbabit bersama tiga anak mereka dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Gua Musang.

Mohd Taufik berkata sebaik tiba di lokasi kawasan selekoh, MPV yang dipandu Che Azmi hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan sebelum bertembung dengan van yang dinaiki 10 sekeluarga dari arah bertentang­an.

Beliau berkata, Nor Hayati bersama pemandu van meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan manakala Che Azmi meninggal dunia di Hospital Gua Musang (HGM).

“Semua mangsa yang cedera itu juga, dirawat sebagai pesakit luar di hospital sama sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Mayat mangsa dihantar Ke HGM untuk bedah siasat dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia