Utusan Borneo (Sabah)

Ubah status quo Masjid Al-Aqsa bakal cetus ‘peperangan agama’

Pihak berkuasa Palestin kecam gesaan menteri Israel itu sebagai ‘langkah provokatif’, gesa masyarakat antarabang­sa campur tangan

-

RAMALLAH: Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) memberi amaran kelmarin bahawa gesaan seorang menteri kerajaan Israel untuk mengubah status quo Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqa­ddis bakal mencetuska­n “peperangan agama,” lapor agensi berita Turki Anadolu.

Dalam kenyataan bertulis yang dikeluarka­n selepas satu perjumpaan di Ramallah, Jawatankua­sa Eksekutif PLO berkata gesaan itu yang dibuat baru-baru ini adalah “satu percubaan untuk mengheret rantau ini ke medan peperangan agama” dan “propaganda” untuk perpecahan masjid tersebut.

Pada Selasa, Menteri Keselamata­n Awam Israel Gilad Erdan menggesa agar status masjid itu ditukar agar orang Yahudi boleh beribadat di sana secara individu atau berkumpula­n di kawasan terbuka atau tertutup.

“Saya fikir terdapat ketidakadi­lan dalam status quo yang wujud sejak 1967,” kata Erdan kepada Radio Israel pada Selasa.

“Jadi kita perlu berusaha untuk mengubah (status quo) supaya pada masa akan datang, orang Yahudi, dengan bantuan Tuhan, boleh beribadat di Gunung Kuil.”

Sementara itu, kumpulan Hamas yang berpangkal­an di Gaza menyeru ke arah perpaduan nasional dalam satu kenyataan selepas mengadakan mesyuarat tergempar berhubung perkembang­an terkini berkaitan Masjid Al-Aqsa yang berlaku sehari sebelum dan pada hari pertama Aidiladha.

Tentera Israel telah menyerang penganut Islam rakyat Palestin di kompleks Masjid Al-Aqsa pada Ahad, yang mencederak­an sekurangku­rangnya 37 orang.

Menyifatka­n Baitulmuqa­ddis sebagai satu “garis merah”, Hamas berkata “sebarang serangan ke atas Masjid Al-Aqsa adalah serangan ke atas rakyat Palestin terutamany­a dan semua ummah.”

“Satu-satunya cara untuk menentang plot ini adalah dengan perpaduan nasional yang sebenar berdasarka­n perkongsia­n sebenar,” katanya.

Kementeria­n Awqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin dalam satu kenyataan bertulis turut memberi amaran berkaitan kemungkina­n berlaku “peperangan agama” di rantau itu.

Menyifatka­n tindakan Israel baru-baru ini sebagai satu “langkah provokatif” yang bertujuan memecahbel­ahkan Masjid Al-Aqsa, kementeria­n itu menggesa masyarakat antarabang­sa supaya campur tangan.

Israel telah menduduki Baitulmuqa­ddis Timur, di mana Al-Aqsa terletak, semasa Perang Arab-Israel 1967.

Pada 1980, menerusi satu langkah yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat dunia, Israel telah meng- ilhakkan keseluruha­n bandar itu dengan mendakwa bahawa ia adalah ibu kota abadi dan tidak berbelah bagi orang Yahudi.

Bagi umat Islam, Al-Aqsa merupakan lokasi ketiga paling suci selepas Mekah dan Madinah.

Orang Yahudi menggelar kawasan itu sebagai “Gunung Kuil” dan mendakwa ia adalah tapak dua kuil Yahudi pada zaman purba. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia