Utusan Borneo (Sabah)

Nelayan maut dipercayai tertembak diri ketika berburu

-

KOTA SAMARAHAN: Seorang nelayan meninggal dunia dipercayai akibat tertembak dirinya sendiri ketika berburu di kawasan Batu Belat, Sungai Muara Tuang di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Lee Chong Chern berkata mangsa, 45, dari Kampung Temedak, Kota Sentosa mati akibat cedera parah di kepala dipercayai terkena peluru senapang buatan sendiri.

Menurutnya, mangsa keluar berburu bersama seorang rakannya sekitar jam 1.30 petang kelmarin dan mangsa yang membawa senapang memanjat pokok untuk menunggu binatang, manakala rakannya menunggu di perahu.

“Sekitar jam 12 tengah malam, rakan mangsa telah terdengar bunyi tembakan dari arah mangsa dan terus naik ke darat untuk melihat apa yang ditembak oleh mangsa.

“Apabila sampai di lokasi, rakannya mendapati mangsa terlentang di atas tanah dengan kesan tembakan di muka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.

Tambah Lee, rakan mangsa segera menghubung­i saudara mangsa untuk bantuan.

“Abang mangsa bersama tiga lagi penduduk kampung bergegas ke lokasi kejadian selepas dihubungi dan mereka kemudian membawa mayat mangsa keluar dari dalam hutan tersebut,” katanya.

Laporan polis telah dibuat oleh rakan mangsa dan siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari atas pokok menyebabka­n senapangny­a meletup lalu tertembak diri sendiri.

“Siasatan awal juga mendapati tiada unsur jenayah dan senapang buatan sendiri tersebut juga didapati milik mangsa,” kata Lee.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan dan kes setakat ini diklasifik­asikan sebagai mati mengejut (SDR).

Manakala senapang patah buatan sendiri milik mangsa bersama satu kelongsong peluru jenis penabur telah dirampas dan akan dilupuskan mengikut Seksyen 53 Akta Senjata Api 1960.

“Mayat mangsa juga telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat,” katanya.

 ??  ?? TRAGIK: Mayat mangsa dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut.
TRAGIK: Mayat mangsa dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia