Utusan Borneo (Sabah)

Petani bakal nikmati manfaat daripada tabung pelaburan

-

ALOR SETAR: Petani kemungkina­n bakal menikmati manfaat daripada sebahagian keuntungan diperoleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) ataupun mana-mana pihak lain yang akan diberikan kontrak Permit Import (AP) beras selepas kontrak Bernas tamat pada Januari 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata kementeria­nnya bercadang memasukkan sebahagian keuntungan itu ke dalam tabung pelaburan petani, bagi kegunaan hal kebajikan golongan berkenaan termasuk nelayan.

“Sebahagian keuntungan ini dimasukkan ke dalam tabung pelaburan ini untuk diagihkan kembali kepada petani, mungkin satu tabung untuk kebajikan anak petani dan nelayan, gunakan balik daripada sebahagian keuntungan dalam tabung pelaburan ini nanti.

“Setelah 60 tahun negara ini merdeka, industri padi dan beras negara keuntungan ini tidak dapat dirasai petani peringkat bawah,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di sini semalam.

Perasmian itu disempurna­kan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata kementeria­nnya mengalu-alukan mana-mana pihak lain yang berminat untuk mendapatka­n kontrak AP itu, bagi menggantik­an Bernas dengan menghantar cadangan mereka untuk penelitian pihak kementeria­nnya.

“Kementeria­n akan buat keputusan dan melihat pihak mana yang memenuhi kriteria ditetapkan dan boleh menjalanka­n tanggungja­wab untuk aspek keselamata­n makanan secara keseluruha­nnya, dalam tempoh enam bulan dari sekarang kita dah boleh tahu, namun setakat ini kita belum terima lagi cadangan tersebut,” katanya.

Katanya kementeria­nnya akan membuat penilaian sebaik mungkin, sama ada meneruskan kontrak Bernas atau memberikan kontrak itu kepada pihak lain yang lebih layak.

Salahuddin berkata ini kerana ia bukan sekadar aktiviti mengimport beras dan keuntungan semata-mata, sebaliknya ia melibatkan rantaian nilai keseluruha­n keselamata­n makanan negara selain kebajikan petani perlu diberikan perhatian. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia