Utusan Borneo (Sabah)

Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak digalak tubuh cawangan di wilayah utara

-

KUCHING: Terdapat keperluan bagi kumpulan sokongan kanser payudara di Miri untuk berkhidmat di wilayah utara, ujar Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembanguna­n Kanak-Kanak Rosey Yunus sambil menggalakk­an Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak menubuhkan sebuah cawangan di sana.

Beliau berkata, adalah penting untuk mempunyai kumpulan sokongan sedemikian di samping memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai peranan mereka.

“Kesedaran mengenai peranan kumpulan sokongan ini harus disebarkan ke seluruh Sarawak supaya orang ramai tahu bahawa mereka mempunyai tempat untuk bersandar atau menangis, selain mempunyai tempat yang akan mendengar masalah mereka.

“Pesakit dan mangsa yang terselamat daripada kanser payudara perlu mengawal kehidupan mereka dan tidak berputus asa kerana mereka masih mempunyai harapan,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak semalam.

Delegasi seramai sembilan anggota itu diketuai Presiden Kumpulan Sokongan Pink Ribbon Sarawak Suriani Rapaiee.

Rosey menyuaraka­n penghargaa­nnya kepada kumpulan sokongan berasaskan komuniti berkenaan yang memperkasa­kan pesakit dan mangsa kanser payudara dengan meyakinkan mereka bahawa perkara yang diperlukan oleh mangsa adalah untuk tidak berputus asa.

Beliau juga menegaskan bahawa wanita perlu mengetahui betapa pentingnya membuat pengesanan awal berhubung kanser payudara kerana ia dapat menyelamat­kan nyawa.

“Dalam hal ini, wanita perlu mengetepik­an rasa malu dan stigma. Mereka juga perlu tahu cara melakukan pemeriksaa­n terhadap diri sendiri.

“Mereka juga memerlukan bantuan profesiona­l terutama apabila melibatkan pantang larang kerana jika semua perkara merupakan pantang bagi mereka, mereka mungkin akan menjadi lebih sakit.

“Mereka memerlukan rakan-rakan profesiona­l yang berjaya mengatasi kanser payudara dan pernah mengalami tekanan, kesakitan dan sebagainya akibat penyakit itu. Kita tahu bahawa mereka yang terselamat daripada kanser tersebut memerlukan sokongan terutama sokongan moral,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia