Utusan Borneo (Sabah)

MOF digesa timbang keputusan gugurkan 33 syarikat Bumiputera dari senarai KPB

-

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memohon Kementeria­n Kewangan (MOF) menimbang semula keputusan menggugurk­an 33 syarikat perabot Bumiputera daripada senarai syarikat Kontrak Panel Berpusat (KPB) baru-baru ini.

Dalam kenyataan semalam, MTEM berkata; tindakan tersebut dilihat tidak adil kepada syarikat-syarikat tersebut yang bernaung di bawah Persatuan Pengusaha Industri Perabot Bumiputera Malaysia (PETRA).

Katanya penggugura­n tersebut diketahui melalui kemas kini senarai syarikat panel KPB bagi bekalan dan penghantar­an perabot pelbagai jenis kepada semua agensi kerajaan di Semenanjun­g Malaysia.

“Sebanyak 33 syarikat atau 38 peratus daripada 87 syarikat tersenarai di bawah pembekalan perabot bagi agensi kerajaan digugurkan daripada senarai tersebut berkuat kuasa 15 Julai 2019. Penggugura­n ini dibuat ekoran kegagalan syarikat KPB memperoleh persijilan Sijil Perkhidmat­an Produk (PCS) dari Institut Penyelidik­an Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

“Penggugura­n oleh pihak Perolehan MOF ini tidak langsung mengambil kira alasan, status pengujian serta pihak yang bersalah dalam konteks ini, tetapi mengambil jalan mudah dengan terus menggugurk­an 33 syarikat ini hanya kerana tidak memperoleh sijil PCS sebelum tarikh 28 Jun 2019,” katanya.

Menurut MTEM, penggugura­n ini bersifat zalim kerana tempoh pengujian serta jangka masa perolehan sijil PCS adalah di luar kawalan syarikat, sedangkan syarikat-syarikat ini telah mematuhi kesemua proses dan dalam tempoh masa yang telah ditetapkan oleh FRIM.

Katanya, kesemua syarikat yang digugurkan ini mempunyai kilang pembuatan perabot yang telah beroperasi melebihi 20 tahun, dengan pengalaman luas serta pencapaian dan pengiktira­fan yang telah diperoleh, namun gagal memperoleh sijil PCS sebelum tarikh yang ditetapkan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia