Utusan Borneo (Sabah)

Para pemimpin Kadazan Dusun jadi panel forum di UMS hari ini

- Oleh Henry Bating

KOTA KINABALU: Kalangan pemimpin utama Kadazan Dusun hari ini mengadakan pertemuan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam Forum Halatuju Bahasa Kadazan Dusun untuk memperkata­kan mengenai fasa baharu bahasa itu setelah berada dalam kurikulum pendidikan negara sejak 1997.

Sumber dari Institut Kajian Orang Asal Borneo (Boriis) UMS yang menjadi urusetia forum itu memaklumka­n ia dijadual dirasmikan Naib Canselor UMS Datuk Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin.

“Forum dihadiri kalangan pelajar institusi pengajian tinggi, para penggiat bahasa etnik Sabah dari pelbagai badan NGO dan para pengkaji bahasa,” kata sumber urusetia penganjur itu.

Sumber berkenaan seterusnya menyatakan selain para pemimpin utama Kadazan Dusun, turut melengkapi forum berkenaan ialah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, ahli akademik dan aktivis wanita NGO Sabah.

Forum itu bermula jam 9 pagi dan berakhir 5 petang yang melibatkan dua sesi pembicaraa­n kalangan panel.

Sesi pagi dijadual menampilka­n panel yang terdiri daripada Pengerusi/ Pengasas Yayasan Bahasa Kadazandus­un Tan Sri Bernard Dompok, Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandus­un (KDCA) Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden Pertubuhan Dusun Sabah Bersatu (USDA) Datuk Dr Ewon Ebin dan Presiden Kadazan Society Sabah (KSS) Datuk Marcel Leiking.

Sementara pada sesi petang menampilka­n panel yang terdiri daripada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Dr Mistrine Radin, ahli akademik bahasa dan budaya Dr Trixie Tangit Kinajil dan aktivis wanita NGO Dr Lungkiam Dambul.

Forum itu akan menjadi sumber informasi kalangan pemegang taruh bahasa Kadazandus­un untuk kajian yang diterajui kumpulan penyelidik Boriis dipengerus­ikan pengarah institut berkenaan Prof Dr Rosazman Husin yang dibimbing Timbalan Naib Canselor UMS Prof Madya Ts Dr Ramzah Dambul.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia