300 warga gereja Katolik jayakan ‘St Joseph Parish Walkaton 3.0’

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

MIRI: Sekitar 300 warga gereja Katolik di sini telah bersama menjayakan program ‘St Joseph Parish Walkaton 3.0’ dalam usaha mengumpul dana untuk Wisma St Joseph Miri, Isnin lalu.

Biarpun hujan dan bandar raya Miri dilanda jerebu, namun ia tidak mematahkan semangat peserta untuk meneruskan program sejauh 5km yang dirasmikan Menteri Pengangkut­an Datuk Lee Kim Shin.

Lee dalam ucapannya memuji usaha yang dilaksanak­an itu bagi memastikan dana untuk projek Wisma St Joseph berjalan lancar walaupun hujan dan jerebu melanda.

“Semangat dan sokongan begini yang kita mahukan. Pada masa sama, kita juga menghargai usaha Biskop Keuskupan Roman Katolik Miri Right Rev Bishop Richard Ng iaitu sejak beliau mengambil alih menjadi biskop, banyak projek yang diperkenal­kan untuk pembanguna­n gereja serta masyarakat setempat di sini.

“Wisma St Joseph adalah projek besar selain dua gereja lagi di Tudan dan Permyjaya, yang menjadi harapan beliau untuk melihatnya menjadi kenyataan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu mahu masyarakat setempat khususnya warga gereja Katolik bersama menyokong dan mencari dana bagi keperluan Wisma St Joseph terbabit.

“Kerajaan negeri telah menyumbang RM1 juta untuk projek wisma berkenaan dan diharapkan warganya turut bersama membantu mengumpul dana dengan pelbagai program bagi menambah dana yang diperlukan,” jelasnya.

Lee turut mengumumka­n peruntukan bernilai RM20,000 sebagai tambahan kepada dana kira-kira RM200,000 yang dikumpulka­n melalui program ‘St Joseph Parish Walkaton 3.0’ itu.

Terdahulu, Bishop Richard Ng berkata sehingga kini projek wisma terbabit mengumpulk­an dana sejumlah RM21.6 juta melalui pelbagai program dilaksanak­an termasuk walkaton.

“Untuk walkaton 3.0 ini, kita berjaya mengumpul sekitar RM200,000. Untuk walkaton julung kali kita adakan kita berjaya meraih RM800,000 dan kemudianny­a RM600,000 untuk penganjura­n kedua.

“Buat masa ini, kita masih belum melaksanak­an projek tersebut memandangk­an masih terdapat masalah belum diselesaik­an. Tetapi sekiranya masalah selesai, kerja pelaksanaa­n dilakukan dengan segera memandangk­an kita sudah bersedia mengumpul dana bagi usaha terbabit,” katanya.

Beliau juga mahu warga gereja Katolik bersama mendoakan bagi pelaksanaa­n dana untuk membina dua lagi gereja Katolik masing-masing di Tudan dan Permyjaya di sini.

Hadir sama ialah Rev Fr Philip Empala, Rev Fr Sylvester Ngau Juk serta tetamu lain.

MULAKAN: (Dua kanan) Bishop Ng dan Lee melakukan pelepasan program ‘St Joseph Parish Walkaton 3.0’ disertai sekitar 300 warga gereja Katolik, Isnin lalu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.