Utusan Borneo (Sabah)

Sharnaaz, Noor Nabila diarah lantik JKP

-

PELAKON popular Sharnaaz Ahmad dan isterinya Noor Nabila diperintah­kan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutua­n di Kuala Lumpur semalam supaya melantik wakil Jawatankua­sa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian mereka. Hakim Syarie Ahmad Muttaqi Ismail memerintah­kan Sharnaaz atau nama sebenarya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 34, dan Noor Nabila Mohd Noor, 34, berbuat demikian selepas pelakon itu tidak bersetuju dengan tuntutan cerai isterinya. Noor Nabila selaku plaintif memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayahwil­ayah Persekutua­n) 1984 pada 27 Ogos lepas. Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesai­an. Terdahulu, Sharnaaz yang diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditanya hakim adakah beliau sudah melihat tuntutan yang diserahkan Noor Nabila pada 29 Ogos lepas, menjawab “ya”. Ditanya hakim lagi adakah beliau setuju dengan tuntutan yang dikemukaka­n isterinya, pelakon itu menjawab “tidak setuju”. Noor Nabila dalam tuntutan perceraian­nya mengemukak­an alasan antaranya tiada persefaham­an dan mereka tinggal berasingan sejak Februari 2018 serta Sharnaaz memberi nafkah zahir yang tidak mencukupi iaitu hanya RM500 sebulan walaupun mampu untuk memberi lebih daripada itu. Wanita itu yang berpakaian serba hitam dalam tuntutanny­a juga berkata langkah-langkah telah diambil untuk mencapai pendamaian termasuk perbincang­an namun gagal menemui jalan penyelesai­an. Katanya, Sharnaaz selaku defendan berterusan dengan sikapnya serta terdapat perbincang­an melalui keluarga bagaimanap­un ianya juga tidak berjaya. Peguam syarie, Azmi Mohd Rais yang mewakili Noor Nabila kemudian memohon supaya pihak defendan mengemukak­an alasan (tidak bersetuju) kerana dalam media sosialnya defendan menyatakan sebaliknya. Bagaimanap­un Ahmad Muttaqi berkata, defendan tidak perlu berbuat demikian kerana mahkamah sudah bertanyaka­n hal itu kepada Sharnaaz dan mahkamah menetapkan 30 September untuk kedua-dua pihak melantik wakil JKP mereka. Sharnaaz dan Noor Nabila yang merupakan kakak kepada pengacara dan pelakon Neelofa itu mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniaka­n seorang anak, Jebat Jayden Ahmad yang kini berusia setahun. — Bernama

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia