Jerebu boleh sebabkan radang mata, lelah
KOTA BHARU: Keadaan jerebu pada tahap sederhana di Kelantan ketika ini masih tidak menjejaskan kesihatan, namun orang ramai diingatkan supaya mengambil tindakan sekiranya ada simptom berkaitan jerebu.
Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan, Prof Dr Wan Hazabah Wan Hitam berkata mereka yang mudah terjejas dengan jerebu biasanya disebabkan oleh partikulat ampaian dalam udara.
“Apabila berlaku pembakaran, ampaian seperti habuk halus berada di udara dan ukuran tahap jerebu ini bergantung kepada kuantiti ampaian sekali gus memberi kesan kepada mereka yang mengalami alergik.
“Zarah halus ini boleh masuk ke hidung dan mata yang menyebabkan boleh berlaku radang paruparu, resdung dan keradangan mata yang dipanggil konjunktivitis,” katanya kepada Bernama semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai gejala jerebu yang berlaku di negara ini termasuk di Kelantan apabila Pengarah Meteorologi Kelantan Rabiah Zakaria mengesahkan negeri ini berada pada tahap sederhana sejak Ogos lalu.
Bagaimanapun, sehingga kelmarin beberapa negeri di Semenanjung termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan merekodkan peningkatan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) daripada sederhana kepada tahap tidak sihat iaitu melebihi 101.
Prof Dr Wan Hazabah berkata biarpun tahap jerebu di Kelantan belum serius, beliau mengingatkan orang ramai terutama mereka yang bekerja di luar rumah dan lebih terdedah, diminta mengurangkan aktiviti di luar.
“Peringatan awal ini diberikan terutama bagi pesakit mata, mereka akan rasa pedih, mata berair dan merah serta tidak selesa, jadi diharap perlu segera berjumpa doktor di klinik atau hospital terdekat bagi mendapatkan rawatan.
“Bagi mereka yang mengalami penyakit asma (lelah) juga diminta elak berada di luar rumah kerana lebih cenderung mengalami batuk berkahak, sekali gus sesak nafas dan beberapa penyakit yang berkaitan boleh berlaku,” katanya. — Bernama