‘Harmony Walk’ sebar kepentingan perpaduan dalam pelbagai agama
Penganjuran ‘Harmony Walk’ buat julung kali dapat membantu menyebarkan kepentingan perpaduan dalam kalangan pelbagai agama dan ia perlu dipertahankan.
Pengerusi Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) Cawangan Sibu Reverend Monsignor Michael Lee Hock Chai berkata, tujuan utama ‘Harmony Walk’ itu ialah mengukuhkan perpaduan seperti temanya ‘Unity Is Our Calling’ dengan harapan membina rasa cinta, damai dan berkat kepada semua agar dapat hidup aman dan harmoni bersama.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid An-Nur Sibu Latiff Coupon memberitahu, acara itu perlu diadakan setiap tahun kerana ia jelas menggalakkan dan mengukuhkan perpaduan dalam kalangan semua masyarakat dari pelbagai agama.
“Ia adalah peristiwa yang sangat bermakna yang menyatukan semua orang dalam perpaduan.
“Tahun depan adalah giliran kami (Masjid An-Nur Sibu) untuk menganjurkan acara itu dan kami tidak sabar untuk menganjurkannya,” ujarnya lagi.
Bagi Presiden Persatuan Kuil Hindu Sri Mariamman Sibu K. Manogaran, beliau berharap agar acara itu diadakan setiap tahun di Sibu.
“Acara seperti ini jelas menggalakkan dan mengukuhkan perpaduan di kalangan pelbagai agama.
“Ia akan menjadi sangat baik jika kita libatkan lebih banyak belia dari pelbagai agama menyertainya kerana mereka adalah tunjang pewaris kepada kepimpinan masa depan,” tambahnya.
Acara ini dianjurkan bersama oleh ACS, Masjid AnNur Sibu, Persatuan Pertubuhan Gabungan Buddha (UBAS), Persatuan Kuil Hindu Sri Mariamman Sibu, Persatuan Kuil Sikh Sibu dan Baha’is Sibu.
Seramai 300 peserta menyertai acara ini.
Hadir sama Setiausaha ACS Cawangan Sibu Eta Ting.