Padang Bandaran dibanjiri hampir lima ribu pengunjung Karnival Gegar Keningau
KENINGAU: Padang Bandaran Keningau dilimpahi hampir 5,000 pengunjung pada malam pertama Karnival Gegar Keningau V4.0 Mobile Community Services (MSC) sempena sambutan Hari Malaysia 2019, malam semalam.
Majlis perasmian karnival kali keempat itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony.
Menurut Peter, pelbagai acara menarik telah disusun atur sepanjang lima hari karnival berkenaan dan mempelawa masyarakat sekitarnya memanfaatkan ruang yang disedia penganjur, Kelab Belia Keningau dan Pejabat Daerah.
Dalam ucapannya yang disampaikan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rasinin Koutis @ Kautis, Peter menyifatkan Program MCS yang diadakan sehingga 16 September amat bertepatan sebagai platform bagi membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada golongan sasar.
“Terdapat 24 jabatan dan agensi persekutuan dan negeri terlibat dalam menawarkan perkhidmatan pada Program Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MTC).
“Program MCS bertujuan memberikan perkhidmatanperkhidmatan utama kepada penduduk luar bandar dan komuniti pedalaman.
“Selain itu, program ini membolehkan masyarakat mendapatkan perkhidmatan berkaitan kerajaan dengan mudah dan cepat terutama mengenai pendaftaran lesen PMS, pemeriksaan kesihatan, khidmat nasihat perniagaan dan sebagainya.
“Program MTC merangkumi lima komponen utama iaitu menyediakan perkhidmatan kerajaan, memberi penerangan serta kesedaran mengenai dasar dan program kerajaan serta menyediakan platform bagi membolehkan bantuan kerajaan disalurkan terus kepada kumpulan sasaran.
“Selain itu, ia juga merupakan komponen yang menyediakan peluang keusahawanan kepada penduduk tempatan dan menghimpunkan rakyat pelbagai peringkat dan kaum melalui aktiviti sosial dan sukarelawan.
“Oleh itu, kita amat berharap masyarakat daerah ini dan sekitarnya datang bukan beramai-ramai bagi mendapatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan sambil menyaksikan pameran dan persembahan artis-artis tempatan,” jelas beliau.
Pada majlis itu, beberapa artis tempatan ditampilkan untuk menghiburkan para pengunjung di samping kemunculan istimewa penyanyi yang sedang meningkat namanya ketika ini, Ismail Izani.
Hadir sama ADUN Dilantik, Loreto J. Sipin Padua, Setiausaha Politik di Jabatan Ketua Menteri, Azhar R. m Jadi, Pegawai Daerah, Hassan Mahali, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah, Mumin Hamsah, Ketua Polis Daerah, DSP Shahrudin Mat Husain dan Pegawai Penerangan Daerah, Jaafar Matamin.-Penerangan.