PH batal peruntukan, GPS teruskan demi rakyat
Pembatalan banyak projek pembangunan penganiayaan kepada warga Sarawak terutama di luar bandar
KUCHING: Pembatalan banyak projek pembangunan oleh kerajaan persekutuan merupakan satu penganiayaan kepada warga Sarawak terutama di luar bandar, kata Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol.
Kerana prihatin dengan keperluan rakyat, kerajaan Sarawak katanya, meneruskan projek pembinaan dua jambatan — Jambatan Muara Lassa dan Batang Paloh — yang bakal menjadi nadi perhubungan darat warga Pulau Bruit dan sekitarnya.
“Penghargaan wajar diberikan kepada kerajaan negeri, terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Pembinaan dua jambatan ini membuktikan kesungguhan serta keikhlasan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membangunkan infrastruktur negeri terutama di kawasan pedalaman,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Pampasan Jambatan Batang Paloh di Dewan Kampung Semop, pada Sabtu.
Beliau seterusnya berharap dua jambatan ini apabila siap kelak bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi juga memberi perangsang kepada warga Pulau Bruit agar lebih produktif dan kompetitif dalam meningkatkan taraf sosioekonomi.
Justeru, belia di Pulau Bruit diseru agar bersedia mengambil peluang dalam menambah pendapatan seperti mengusahakan pertanian moden, perniagaan runcit, membekal hasil tani dan laut serta bengkel membaiki kenderaan.
Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semop berkata pelaksanaan projek itu juga mustahil jika tiada kerjasama daripada pemilik tanah di kawasan pembinaan jambatan.
Sikap demikian menurutnya menunjukkan mereka amat memahami kepentingan jambatan ini terhadap keperluan penduduk di kawasan terbabit.
Menurutnya, pembinaan dua jambatan itu juga sebagai bukti kesungguhan, kerajinan dan keberaniannya bersuara dalam mewakili warga yang memberi amanah dan kepercayaan kepadanya.
“Saya tidak pernah menjanjikan kesempurnaan dalam kerja saya, yang penting kurang berpolitik, tetapi banyak bekerja untuk merealisasikan harapan dan keinginan masyarakat.
“Tidak guna sepanjang masa mengeluh dan asyik menyalahkan orang lain. Tumpuan ialah untuk bergerak dan membina masa depan bukan berleter mengenai masa lepas,” jelasnya.
Selain membina sistem perhubungan, beliau berkata usaha menaik taraf infrastruktur seperti bekalan elektrik dan air juga diberi tumpuan serius termasuk membina baharu beberapa sekolah usang, katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan anasir yang boleh mengakibatkan masyarakat berpecah belah dan buruk sangka.
“Sewajarnya kita perlu sentiasa memilih pendirian serta fahaman yang menjurus ke arah merapatkan silaturahim dan mengajak ke arah kebaikan dan membina diri,” katanya.
Pada majlis itu, sebanyak 42 pemilik tanah menerima pampasan tanah berjumlah RM378,868 bagi tujuan pembinaan Jambatan Batang Paloh.
Jambatan Batang Paloh dengan kepanjangan 1.7 kilometer mula dibina dengan kos RM298.98 juta dan dijangka siap pada pertengahan 2023.
Beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM9,500.
PIBG SK Kampung Betanak menerima RM2,000, PIBG SK Salah Kechil (RM3,000), AJK Surau Darul Taqwa Kampung Penipah (RM3,000) dan Etana Buskers (RM1,500).
Penghargaan wajar diberikan kepada kerajaan negeri, terutama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg. Abdullah Saidol Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak