Bermula online terus berniaga
Farahdilah nekad buka kedai emas bersama rakan kongsi
BERMULA secara dalam talian selama dua tahun, Farahdilah Abdul Rahman, 30, telah giat berkecimpung dalam perniagaan menjual emas secara dalam talian.
Permulaannya, pengusaha kosmetik ini menjadikannya sekadar hobi namun beliau telah membuka kedai menjual emas bersama rakan kongsinya Ikamaya Sukarno, 25, seorang kontraktor dari Tawau.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Ella Dyella memberitahu perniagaan secara dalam talian (online) amat popular dan digemari masyarakat kini kerana mudah diusahakan dan hanya memerlukan modal yang agak rendah.
Selain itu katanya pengusaha tidak perlu pening kepala memikirkan sewa premis, bil-bil utiliti seperti elektrik dan air yang jika dihitung setiap bulan, memakan kos yang agak tinggi.
“Tanpa premis perniagaan, masih banyak barangan atau produk boleh dipasarkan secara dalam talian termasuk barangan perhiasan wanita seperti emas.
“Walaupun dianggap berisiko, namun penjualannya mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.
Ella berkata, idea untuk menjual emas secara dalam talian timbul selepas dia melihat platform media sosial boleh menjadi medium terbaik untuk memasarkan barangan perhiasan wanita itu.
“Saya mempunyai laman Facebook dan Instagram (Jealoushe Gold) sendiri untuk menjual emas secara dalam talian. Kebanyakan emas yang dijual terdiri daripada pelbagai bentuk terkini yang digemari pelanggan,” katanya.
Setelah dua tahun berniaga dalam talian, Ella nekad untuk membuka kedai bersama rakan kongsinya.
Pada 31 Ogos lalu, Jealoushe Gold mula beroperasi di sebuah premis bertempat di Lot G40B, Tingkat Bawah, Pusat Membeli-belah Centre Point.
Menariknya kedai ini menjual emas 916 tanpa upah dan mendapat tempat di hati pelanggan-pelangan yang terdiri pelbagai peringkat usia.
Ella berkata, dengan membuka kedai menjual barang kemas itu juga menambahkan lagi keyakinan pelanggan terhadap perniagaannya.
Beliau berkata, dari segi pelanggan beliau tidak menghadapi masalah kerana sudah mempunyai pelanggan tetap secara dalam talian yang mengunjungi kedainya untuk membeli dan mengambil barang kemas yang sudah dipesan.
“Perniagaan secara dalam talian banyak membantu dalam menarik pelanggan.
“Mereka boleh mengunjungi kedai untuk mengambil barang yang dipesan,” katanya.
Menyentuh mengenai saat mencabar dalam menjalankan perniagaan, Ella berkata, menjual emas mempunyai persaingan yang sengit dari segi harga.
Peniaga perlu bijak dalam menetapkan harga bagi membolehkan perniagaan yang dijalankan mampan dan mampu bertahan dalam persekitaran persaingan harga yang sengit.
“Apabila berniaga dengan membuka kedai fizikal, saya berdepan cabaran dari segi harga yang mana perlu bersaing dengan harga emas yang dijual secara dalam talian yang lebih murah.
“Pendekatan yang saya gunakan ialah tidak menaikkan atau menurunkan harga sesuka hati, sebaliknya menjual pada paras harga yang munasabah dan pelanggan menerimanya.
“Paling penting keluarga sentiasa memberi dorangan kepada saya untuk maju ke hadapan,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Ella mahu membawa perniagaan barang kemasnya ke peringkat yang lebih tinggi.