RM20 juta laksana program pengukuran tanah adat di Sabah
KOTA BELUD: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan sebanyak RM20 juta untuk program pengukuran tanah adat anak negeri di seluruh Sabah, tahun ini.
Pengarah Tanah dan Ukur Sabah Datuk Safar Untong berkata, setakat September ini, sebanyak 141 kampung melibatkan 21 daerah di seluruh Sabah telah dijalankan pengukuran Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) sejak program itu diwujudkan pada 2012.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 20,948 lot dengan keluasan 36,048.344 hektar tanah berjaya diukur di seluruh Sabah.
“Sehingga kini, sebanyak 6,335 geran deraf telah dikeluarkan dan pihak Jabatan Tanah dan Ukur masih lagi giat mencetak deraf geran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program PANTAS di Kampung Kiau Taburi, di sini, kelmarin.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.
Safar berkata, sesi taklimat awal bersama penduduk Kampung Kiau Taburi telahpun diadakan pada 27 Ogos lalu bagi memberikan maklumat mengenai rancangan pengukuran untuk kawasan kampung itu dan sebuah Jawatankuasa Pengukuran Lapangan akan ditubuhkan bersama-sama ketua kampung selepas pelancaran program berkenaan.
“Ini bertujuan merancang lebih teliti pengukuran lot dan pendaftaran permohonan tanah program PANTAS di Kampung Kiau,” katanya dan menambah Jurukur Daerah Bahagian Pantai Barat Utara diamanahkan untuk menyelia dan mengawal perkembangan kerja pengukuran di kawasan itu.
Beliau berharap penduduk kampung dan ketua kampung memberikan kerjasama dan membantu Pasukan Ukur Jabatan menunjukkan sempadan kawasan tanah masing-masing bagi memudahkan proses pengukuran dilaksanakan.
“Jangan menimbulkan pertikaian dan perselisihan sesama sendiri, tujuan kita adalah untuk mengukur tanah di kampung ini yang sudah anda duduki sejak turun-temurun agar dapat mengeluarkan geran-geran tanah secepat mungkin,” katanya.
Program pengukuran PANTAS di Kampung Kiau merupakan program pertama di daerah Kota Belud. Bagi kawasan kampung itu, arahan ukur telah dikeluarkan pada 12 September lalu untuk 254 lot yang berkeluasan kira-kira 500 ekar.
“Kita perlu tiga pasukan untuk melaksanakan pengukuran di Kampung Kiau Taburi dan kita akan tambah dua lagi pasukan menjadikannya lima pasukan sekiranya ada kampung-kampung bersebelahan dengan kampung ini yang belum diukur.
“Saya mengarahkan mereka supaya menjalankan terus pengukuran kampung-kampung bersebelahan selepas selesai pengukuran di Kampung Kiau Taburi bagi menjimatkan dari segi logistik,” katanya.
Beliau berkata, jabatan menetapkan tempoh lapan bulan untuk menyiapkan penyukatan tanah di Kampung Kiau Taburi dan kampung-kampung bersebelahan kampung itu.