DAP perlu kurangkan pendekatan mesra Cina tadbir negara
KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata, Parti Tindakan Demokratik (DAP) perlu mengurangkan pendekatan mesra Cina dalam mentadbir negara ini jika tidak ketegangan sosial dan politik akan berlaku.
“Saya mahu menasihati DAP, agar mengurangkan pendekatan mesra Cina mereka dalam mentadbir negara ini, jika tidak ketegangan sosial dan politik akan berlaku.
“Tidak ada rakyat Malaysia yang berfikiran munasabah mahu perkara seperti ini berlaku. Dalam negara pelbagai kaum seperti Malaysia dan Sarawak, perkongsian kuasa sebenar satu-satunya cara untuk maju,” katanya semalam.
Masing yang juga presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata majoriti Melayu akan memberi reaksi kepada pendekatan DAP yang mesra Cina.
Justeru ujarnya, UMNO dan PAS kini mempunyai lebih banyak alasan untuk bekerjasama berbanding sebelum ini.
Beliau berkata kerjasama UMNO dan PAS bukan suatu yang baharu kerana dua parti itu sebelum ini pernah menjalin kerjasama maka tidak ada sebab ia tidak boleh berlaku semula.
“Kali ini, dua parti (politik) Islam ini mempunyai lebih banyak alasan untuk bekerjasama.
“Pakatan antara PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP adalah ancaman sebenar kepada perpaduan Melayu atau Islam.
“Retorik politik DAP menyebabkan orang Melayu berasa kurang senang. Dalam negara pelbagai bangsa seperti Malaysia, ekstremisme dalam politik, sosial mahupun agama tidak boleh dibenarkan berlaku kerana ia akan mewujudkan interaksi bertentangan,” katanya .
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai penyatuan UMNO dan PAS menerusi piagam yang dipersetujui bersama.
Pada Sabtu seketika berucap pada Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), akhbar kebangsaan berbahasa Melayu melaporkan Zahid sebagai berkata pemeteraian Piagam Muafakat Nasional Pas dan UMNO akan diperincikan melalui perbincangan dalam jawatankuasa perunding dan jawatankuasa teknikal.
Selain itu jelasnya, jawatankuasa berkenaan akan membincangkan bentuk kerjasama yang boleh dijalankan kedua-dua parti dari peringkat kepimpinan sehinggalah ke peringkat akar umbi. “Jawatankuasa perunding dan juga jawatankuasa teknikal akan memperhalusi bukan hanya piagam, tetapi perjanjian persefahaman untuk memperincikan piagam berkenaan.
“Kepimpinan kedua-dua parti apabila tiba masanya akan umumkan sesuatu bentuk yang akan dimuktamadkan sebagai sebuah harakah politik,” katanya.