NGO perlu pertahan hak orang Sarawak khususnya berkaitan NCR: Penguang
TINJAR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mempertahan hak-hak orang Sarawak termasuk berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil berkata, mereka perlu jelas dengan objektif masing-masing serta tidak mempolitikkan perjuangan mereka.
“Sekiranya objektif mereka sama dengan kerajaan negeri iaitu mempertahankan hak-hak orang Sarawak termasuk berkaitan hak tanah NCR, maka kerjasama erat antara NGO dan kerajaan negeri perlu diperkukuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Randau Bersama Penduduk di Sungai Sebatu, Sungai Sebubu dan Sungai Bain di Rumah Jemat Antau, Sungai Sebatu Tinjar kelmarin.
Penguang turut menekankan betapa pentingnya penglibatan belia dan orang muda dalam perancangan pembangunan kampung dan politik tempatan.
Beliau menyeru golongan muda sentiasa berfikir secara rasional serta jangan mudah terpengaruh dengan hasutan dan fitnah golongan yang tidak bertanggungjawab di media sosial.
“Semua maklumat yang diterima perlu disiasat terlebih dahulu,” kata Penguang.
Pada majlis itu beliau turut menerangkan serba sedikit perancangan dalam menyediakan kemudahan asas di kawasan Tinjar terutama bagi projek yang telah diluluskan iaitu bekalan air bersih (Tinjar Fasa 2 RM70 juta & Pakej NR2 RM40 juta), Bekalan Elektrik Luar Bandar (Projek RES Phase 1) dan naik taraf jalan-jalan kampung (Projek Rakyat N76 RM49 juta).
Beliau turut menyerahkan cek projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM100,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jemat (RM15,000), Biro Wanita Rumah Jemat (RM5,000), Rumah Duri Atek (RM20,000), Rumah Jilan (RM20,000), Rumah Dagulass Bungan (RM20,000), Rumah Banyah Sungai Sebubu (RM15,000) dan Biro Wanita Rumah Banyah (RM5,000).
Sebelum ini, Penguang menyumbang MRP berjumlah RM70,000 untuk meratakan tapak baharu Rumah Jemat.
Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Alexander Asing, Wali Kota Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, Pemanca Enggah Muga, ahli-ahli majlis, penghulupenghulu, tuai-tuai rumah, ketua-ketua kampung, kapitan, NGO-NGO dari Miri dan penduduk berdekatan.