Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak lambang perpaduan rakyat
KUALA LUMPUR: Kepelbagaian kaum dan budaya di Sarawak antara lambang perpaduan, keharmonian dan kekuatan rakyat di negeri tersebut yang boleh dijadikan model terbaik masyarakat berbilang etnik yang ingin menikmati kemakmuran hidup bersama.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Suriani Ahmad berkata sambutan Hari Malaysia pada tahun ini yang diadakan di Sarawak dapat mempamerkan kepelbagaian budaya dan ciri unik negeri itu untuk dikongsi bersama seluruh rakyat Malaysia.
“Sambutan Hari Malaysia pada malam ini akan mempamerkan pelbagai pakaian tradisional etnik serta pelbagai bentuk seni tari yang mewakili etnik masingmasing di Sarawak. Saya sangat teruja apabila melihat raptai perarakan bersempena sambutan Hari Malaysia yang akan kita saksikan pada malam ini (malam tadi) di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak.
“Dari segi sejarahnya, negeri Sarawak memang dikenali sangat unik kerana kepelbagaian etniknya yang turut menjadi kekuatan kepada rakyat negeri itu telah melahirkan semangat tolak ansur dan hormat menghormati yang tinggi sesama mereka,” katanya dalam program lintas langsung bersama Bernama Radio dari Kuching semalam.
Program itu adalah pengisian pertama dalam usaha Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) mencatat rekod ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ dalam Malaysia Book of Records (MBOR) yang dilakukan bersempena Hari Malaysia 2019.
Sementara itu, Suriani berkata sambutan Hari Malaysia itu juga merupakan simbolik semangat perpaduan yang perlu ditekankan sampai bilabila dalam kalangan rakyat di negara ini bagi melahirkan masyarakat yang sentiasa sayang dan cintakan negara.
“Kita harus sentiasa beri komitmen, saling bekerjasama dan terus berusaha untuk menjadikan Malaysia terus kukuh. Semangat patriotik perlu disemai sejak kecil dan beri pendedahan mengenai momen-momen perpaduan. Perpaduan juga boleh diterapkan melalui aktiviti sosial.
“Kita juga hendaklah memilik sifat toleransi yang tinggi, saling faham memahami nilai serta budaya sesama bangsa. Anasir-anasir negatif yang boleh menggugat perpaduan sesama kita perlu ditepis dan hendaklah sentiasa berfikiran terbuka,” katanya.
Sambutan Hari Malaysia yang diadakan pada malam tadi bermula 7 malam di Stadium Perpaduan itu dijangka dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan tetamu kehormat lain.
Antara acara pada malam tadi adalah amanat oleh Dr Mahathir, nyanyian lagu patriotik, tayangan video khas, perarakan peserta Konvoi Kembara Merdeka jalur Gemilang serta persembahan khas.
Mengenai ‘Siaran Langsung Kebangsaan Pelbagai Bahasa Tanpa Henti Paling Lama’ selama 24 jam bermula jam 7 pagi semalam sehingga 9 pagi ini yang dilakukan Bernama, Suriani mengucapkan tahniah serta menghargai usaha agensi berita itu dalam mewujudkan program berbentuk patriotisme bersempena meraikan Bulan Kemerdekaan.
“Selamat maju jaya untuk siaran ini. Bernama merupakan platform terkini yang menjadi pilihan rakyat di Malaysia dan sentiasa produktif dalam menghasilkan berita semasa yang tepat,” katanya.