KDN kaji peranan ESSCOM, UTK
Memastikan keberkesanan keselamatan di pantai timur Sabah
SANDAKAN: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman berkata, kerajaan akan membuat kajian semula ke atas keberkesanan peranan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Unit Tindakan Khas (UTK) di Sabah.
“Keperluan UTK di Sabah memang ada. Ini termasuklah penambahan keanggotaan UTK dan penempatan unit ini di kawasan perlu, yang telah dibincangkan di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN),” katanya.
Katanya, UTK banyak melahirkan keanggotaan tetapi ramai yang diambil oleh menteri, timbalan menteri mahupun wakil rakyat, yang ditugaskan sebagai ‘bodyguard’. Semua itu akan dibincang di peringkat kementerian.
Azis berkata, perbincangan itu turut menyentuh keberkesanan peranan ESSCOM yang mana kajian semula akan dilakukan.
Menurutnya, peranan ESSCOM diteliti untuk diperincikan bagi memastikan keberkesanan dan pemantapan keselamatan di pantai timur Sabah.
“Perkara ini akan diumumkan oleh Perdana Menteri pada tahun hadapan,” katanya selepas membuat lawatan ke Martek UTK Sandakan, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Staf Pasukan Khas ESSCOM SAC Mohd Ali Tamby, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin, Ketua Cawangan Khas Sandakan DSP Basir Quirino @Gino dan Pegawai Pemerintah Martek UTK Sandakan ASP Sharipul Azhar.
Dalam pada itu, Azis telah melawat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan dan Martek UTK Sandakan di mana beliau diberi taklimat berhubung isu-isu keselamatan selain kebajikan dan kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini.
Beliau telah melihat sendiri keadaan kuarters IPD Sandakan yang terletak di Tinosa Batu 4 dan kuarters UTK Sandakan.
Ditanya berhubung perkara itu, Azis menjelaskan isu kuarters itu bukannya perkara baharu tetapi ia berlaku di seluruh negara, tidak terkecuali di Sandakan.
“Saya sendiri sudah melihat semalam dan gambar pun kita telah ambil. Saya akan buat laporan berhubung perkara ini,” katanya.
Beliau akan cadangkan agar satu bajet khas diberikan kepada IPD Sandakan dan UTK di sini agar diberi kelulusan.
“Perkara itu juga membabitkan aktiviti serta latihan pegawai dan anggota polis terutamanya UTK, saya akan bawa perkara ini ke pihak kementerian untuk diambil perhatian sewajarnya,” katanya.