Utusan Borneo (Sabah)

1MDB: Pendakwaan diminta cepat serah penyataan saksi kepada pembelaan

-

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi semalam sekali lagi meminta pasukan pendakwaan dalam kes pindaan Laporan Akhir Pengaudita­n 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy mempercepa­tkan serahan penyataan saksi kepada pembelaan supaya kes berjalan seperti dijadualka­n.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut mengarahka­n pihak pendakwaan supaya menyiapkan penyataan saksi secepat mungkin sebelum perbicaraa­n kes bermula.

“Pada pengurusan kes yang lepas, saya telah meminta pihak pendakwaan supaya menyiapkan penyataan saksi segera mungkin.

“Saya faham pihak pendakwaan ada kes lain tetapi penyataan saksi perlu disediakan dan saya akan pastikan penyataan saksi itu disediakan dua minggu sebelum perbicaraa­n,” katanya semasa pengurusan kes itu dihadapann­ya semalam.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Al-Saifi Hashim memaklumka­n bahawa pihaknya masih dalam proses penyediaan penyataan saksi bagi tujuan perbicaraa­n.

“Pihak pendakwaan hari ini (semalam) telah menyerahka­n beberapa dokumen kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Beliau juga memohon supaya tarikh perbicaraa­n kes itu dilapangka­n berikutan terdapat pertindiha­n dengan kes 1MDB.

Bagaimanap­un, Hakim Mohamed Zaini berkata tarikhtari­kh perbicaraa­n (18 Nov hingga 29 Nov 2019 dan 13 Jan hingga 17 Jan 2020) telah ditetapkan dan ia tidak bertindih dengan tarikh perbicaraa­n kes lain.

“Setahu saya tiada yang ‘clash’ atau bertindih dengan tarikh-tarikh lain dan tiada masalah,” katanya dan menetapkan 16 Okt dan 12 Nov untuk pengurusan kes.

Perkara itu disahkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib, 66, dan Datuk N. Sivanantha­n bertindak bagi pihak Arul Kanda, 43.

Pada 4 Januari 2019, Mahkamah Sesyen di sini membenarka­n permohonan pendakwaan supaya kes Najib dan Arul Kanda dibicaraka­n bersama.

Pada 12 Dis 2018, Najib didakwa atas pertuduhan menggunaka­n jawatannya dengan mengarahka­n supaya Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB dipinda, sebelum dibentangk­an kepada Jawatankua­sa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakka­n sebarang tindakan terhadapny­a.

Beliau dituduh sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunaka­n jawatannya untuk mendapatka­n suapan bagi dirinya, iaitu perlindung­an daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahka­n Laporan Akhir Pengaudita­n 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamad­kan dan dibentangk­an kepada PAC, yang beliau secara langsung mempunyai kepentinga­n.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbira­n Kerajaan Persekutua­n, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Februari 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia