Utusan Borneo (Sabah)

Jangan persiakan harapan rakyat

-

KOTA KINABALU: Isu kemasukan pemimpin tertentu ke dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sekadar isu keahlian pintu belakang tapi kesannya cukup parah dan menjadi liabiliti kepada parti yang dikenali sebagai Penggerak Reformasi dan Politik perubahan berdasarka­n nilai kebenaran dan keadilan.

Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustapha Sakmud berkata pimpinan perlu menilai secara adil antara pejuang reformasi dan ‘the Lost Samurai’.

Katanya, sebagai Ketua Cabang Kota Belud dan Timbalan Pengerusi PKR Sabah, beliau memang terkesan dan merasai kebimbanga­n pimpinan dan ahli-ahli parti seluruh negeri.

“Pengalaman dalam membina semula Kota Belud dengan membawa politik nilai yang bertembung dengan budaya politik wang yang mengakar di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.

“Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekeh dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertaha­nkan kuasa.

“Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi-potensi pimpinan terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya sambil menambah “saya boleh berjiwa besar tapi tidak akan berkomprom­i dengan prinsip perjuangan,” katanya.

Katanya, MP Sabah di bawah kepimpinan Datuk Christina Liew walaupun dikatakan lemah tetapi tercatat dalam sejarah sebagai Pengerusi PKR Negeri yang berjaya menjatuhka­n Kerajaan BN setelah berjuang selama 20 tahun.

Beliau berharap Pimpinan Pusat terutama Presiden Parti Dato’ Seri Anwar Ibrahim dapat membuat penilaian dan pertimbang­an yang adil.

“Kami sayangkan parti yang kami dokong sejak 20 tahun dan mahukan agar laluan untuk menjadi PM kelapan dipermudah­kan.

“Jangan persiakan harapan rakyat yang ingin melihat politik perubahan berlaku. Ramai lagi pejuang pejuang yang tidak didendang perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti.

“Saya akan teruskan perjuangan dalam mendidik masyarakat memahami politik nilai dan politik perubahan selagi diperlukan oleh parti.

“Jika akhirnya saya dikorbanka­n saya tetap rasa bahagia kerana meninggalk­an legasi kepimpinan buat panduan generasi muda dalam meneruskan perjuangan,” katanya.

 ??  ?? MUSTAPHA
MUSTAPHA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia