Utusan Borneo (Sabah)

PPM tahan 5 PTI cuba menyusup keluar ke Filipina

- Oleh Norwahida Yamaluddin

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) di sini menahan lima orang lelaki pendatang tanpa izin (PTI) yang disyaki dalam cubaan menyusup keluar ke Filipina dari persisiran pantai Tagupi, Tungku, kelmarin.

Menurut Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, kesemua yang ditahan itu berumur lingkungan 18 hingga 50 tahun ketika krew bot RH43 melakukan Op Gelora rondaan cegah jenayah jam 10.40 malam.

“Ketika kejadian, pasukan yang membuat rondaan cegah jenayah laut dan pesisir pantai telah berselisih dan terlihat beberapa orang mencurigak­an berlegar-legar di kawasan pesisir pantai Tagupi.

“Setelah memperkena­lkan diri sebagai polis dengan menunjukka­n kad kuasa, lima orang lelaki yang diperiksa gagal menunjukka­n dokumen pengenalan diri,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Pajeri, hasil siasatan lanjut, mereka disyaki sedang menunggu sebuah bot yang tidak dikenali untuk mengambil dan menghantar mereka dipercayai ke Bongao, Filipina.

Katanya, tiga buah motosikal yang digunakan untuk mengangkut PTI yang ditinggalk­an di persisir pantai turut dirampas dengan anggaran rampasan berjumlah RM15,500.

Kesemua PTI yang ditahan bersama barang rampasan telah dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Lahad Datu.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan atau kompaun sehingga RM3,000 jika sabit kesalahan.

 ??  ?? DITAHAN: Lima PTI yang ditahan bersama bahan bukti kes.
DITAHAN: Lima PTI yang ditahan bersama bahan bukti kes.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia