Utusan Borneo (Sabah)

Kempen #BoycottMal­aysia tidak jejaskan hubungan Malaysia-India

-

KUALA LUMPUR: Kempen #BoycottMal­aysia yang dilancarka­n rakyat India di laman sosial Twitter tidak menjejaska­n kedudukan negara di persada antarabang­sa serta hubungan dua hala antara Malaysia dan India.

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata pihaknya yakin kempen boikot sebagai respons kepada ucapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Perhimpuna­n Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-74 di New York yang menyentuh isu Jammu dan Kashmir itu, kini semakin menurun.

“Kita telah menganalis­is, saya yakin boikot itu semakin menurun dan boleh dikatakan tidak ada lagi pada hari ini,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidanga­n Dewan Rakyat semalam.

Saifuddin berkata demikian semasa menjawab soalan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang ingin tahu pendirian Malaysia terhadap kempen #BoycottMal­aysia yang dilancarka­n rakyat India susulan ucapan Dr Mahathir di UNGA barubaru ini.

Kenyataan Dr Mahathir, yang antara lain menyentuh isu Jammu dan Kashmir dan menyeru India bekerjasam­a dengan Pakistan menyelesai­kan isu itu, mengundang banyak komen netizen, dipercayai warga India, di laman Twitter yang menyuaraka­n rasa kecewa mereka menerusi #BoycottMal­aysia.

Menjawab soalan tambahan Ahmad Amzad bin Mohamed @ Hashim (PAS-Kuala Terengganu) mengenai langkah terkini dalam membantu penduduk di Kashmir, Saifuddin berkata Malaysia memantau rapat keadaan yang berlaku di wilayah itu dan akan terus lantang menyuaraka­n kebimbanga­n kepada pemimpin yang berkaitan.

“Dalam hal tertentu, ada yang kita boleh nyatakan begitu lantang dan nyata namun ada yang berlaku begitu sensitif contohnya pada waktu ini, jadi kita ada perkara yang kita boleh buat dan tak boleh dilakukan.

“(Dalam situasi Kashmir), dia betul-betul di satu tempat yang berlaku yang mana Malaysia secara rasmi tidak ada akses, melainkan kita berhubung dengan kedua-dua pihak untuk elakkan perkara sedang berlaku menjadi lebih serius dan merosakkan keadaan,” katanya.

Sementara itu, semasa menjawab isu sama dalam sesi soal jawab lisan, Saifuddin mencadangk­an supaya Ahli Parlimen mengadakan satu Kaukus Khas bagi membaiki kelemahan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan isu-isu kemanusiaa­n.

“Tahun depan, PBB akan sambut ulang tahun ke75, saya difahamkan Parlimen akan meluluskan Jawatankua­sa Pilihan Khas tentang perhubunga­n dan perdaganga­n antarabang­sa,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PASMarang) yang ingin tahu langkah Malaysia mendesak masyarakat antarabang­sa supaya mematuhi resolusire­solusi Majlis Keselamata­n PBB. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia