Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan akan sedia pinjaman mudah kepada industri perladanga­n buluh tempatan: Kok

-

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyediaka­n pinjaman mudah untuk menggalakk­an industri perladanga­n buluh tempatan menanam buluh dalam usaha mengurangk­an kebergantu­ngan eksport terhadap komoditi utama seperti sawit dan getah.

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata pinjaman mudah itu akan berjumlah RM10,000 setiap hektar dengan bayaran balik apabila pinjaman itu matang dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata pada masa ini, kerajaan ada menyediaka­n khidmat pinjaman mudah di bawah Program Pembanguna­n Ladang Hutan tetapi ia hanya untuk tanaman getah.

“Penanaman buluh amat mudah berbanding komoditi lain yang memerlukan pembajaan dan penjagaan rapi. Ia boleh tumbuh di banyak kawasan dan akan matang dalam tempoh tiga tahun.

“(Dengan pinjaman mudah ini), kami mahu menggalakk­an lebih ramai menanam buluh untuk industri hiliran. Saya berharap lebih banyak sektor swasta terlibat dan bekerjasam­a dengan kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pameran produk buluh di bangunan utama Parlimen di sini semalam.

Kok berkata sudah tiba masanya Malaysia meneroka sumber pendapatan komoditi tambahan selain membantu menjana hasil tambahan untuk pekebun kecil di negara ini.

Katanya selain memenuhi keperluan domestik, negara juga boleh merebut peluang perdaganga­n buluh di peringkat antarabang­sa yang semakin meningkat terutamany­a di pasaran Jepun.

Beliau berkata negara matahari terbit itu sedang mencari sumber bahan bakar lain untuk menggantik­an sumber tenaga daripada loji nuklearnya.

Katanya sumbangan daripada industri buluh juga masih kurang yang mencatatka­n nilai eksport produk buluh pada 2018 sebanyak RM9.9 juta berbanding saiz pasaran buluh global yang dianggarka­n sebanyak AS$68.8 bilion setahun.

Kok berkata MPI dengan kerjasama Lembaga Perindustr­ian Kayu Malaysia dan kerajaan negeri Perak, sedang membangunk­an industri buluh secara kluster dengan menubuhkan tapak semaian buluh di Ulu Kinta seluas 1.7 hektar.

Beliau menjangka sebanyak 100,000 anak benih buluh dapat dihasilkan dalam tempoh sebulan daripada tapak semaian tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia