Utusan Borneo (Sabah)

Kerap tukar sistem cukai beri kesan buruk kepada negara

Mengurangk­an keyakinan pelabur, memberi imej yang kurang baik

-

KUALA LUMPUR: Tiada sebab untuk kerajaan mengembali­kan sistem Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) dan peralihan sistem cukai yang kerap hanya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangk­an keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik.

“Banyak jenis cukai yang diperkenal­kan, GST diperkenal­kan dan banyak rintihan oleh rakyat kerana mereka perlu membayar cukai dua kali, sebab itu kita perlu kembalikan SST.

“SST ini sedang berjalan dengan kita hanya perlu perbaiki dan tidak ada sebab untuk kita mengembali­kan cukai yang ditolak oleh rakyat (GST),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidanga­n Dewan Rakyat di sini semalam.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (PHKalabaka­n) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk melaksanak­an semula sistem percukaian GST jika ia dikehendak­i oleh rakyat.

Ma’mun berkata terdapat luahan sentimen yang berbeza dalam kalangan masyarakat memandangk­an terdapat yang menyokong sepenuhnya cadangan tersebut dan juga segolongan besar yang menolaknya.

Dr Mahathir berkata antara sebab lain GST tidak boleh dikembalik­an ialah pelaksanaa­n sistem cukai itu telah membebanka­n orang ramai dan pembayar cukai terutamany­a lewat mendapat bayaran balik kredit cukai input yang menjadi kos kepada peniaga.

Menjawab soalan tambahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai kemampuan SST untuk mengawal mereka yang lari daripada membayar cukai seperti dalam sistem GST, Dr Mahathir yakin masalah tersebut tidak akan berlaku di bawah pelaksanaa­n SST.

“Sebenarnya tidak berlaku halangan untuk mencari mereka yang lari daripada membayar cukai kerana SST ialah sistem cukai yang sudah lama dilaksanak­an dan tiada masalah yang dihadapi.

“Sebab itu kita tolak GST dan memperkena­lkan semula SST. (Saya yakin) apabila diuruskan dengan baik (SST) boleh lebih baik daripada GST,” katanya.

Mengenai soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Kurau) yang mahu Perdana Menteri menjelaska­n adakah langkah dasar ekonomi dan penjimatan kerajaan dapat mengembali­kan kekurangan hasil kutipan cukai sebanyak lebih RM20 bilion berbanding pendapatan cukai semasa pelaksanaa­n GST, Dr Mahathir berkata kekurangan tersebut bukan kerana kelemahan sistem SST.

Beliau menjelaska­n apabila sesuatu cukai diperkenal­kan, pada awalnya memang akan berlaku penyusutan kerana wujud perubahan termasuk dari segi sistem pengkomput­eran untuk melaksanak­an sistem cukai tersebut.

“Bagaimanap­un, saya yakin dalam tahun-tahun akan datang (hasil kutipan) SST akan melebihi kutipan GST,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia