Utusan Borneo (Sabah)

UMS komited bantu kelestaria­n pengurusan bencana alam di Sabah

-

KOTA KINABALU: Pusat Kajian Bencana Alam (NRDC) Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA), Universiti Malaysia Sabah (UMS) komited untuk membantu memastikan kelestaria­n pengurusan risiko bencana alam khususnya di Sabah dapat dilaksanak­an dengan lebih efektif.

Naib Canselor UMS Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata pencemaran udara dan bencana alam yang kerap berlaku di Malaysia turut memberi kesan kepada kehidupan penduduk dan juga kemusnahan alam sekitar.

“Oleh yang demikian, langkah proaktif dan lestari perlu diambil bagi memastikan impak bencana alam dapat dikurangka­n pada tahap yang minimum.

“Kerjasama daripada pelbagai pihak dan segenap lapisan masyarakat juga amat perlu bagi menerapkan kesedaran dan kepekaan terhadap kepentinga­n pengurusan bencana alam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Bencana Alam 2019, di sini baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Dekan FSSA Profesor Dr. Baba Musta.

Tambah beliau, melalui penganjura­n seminar itu, maklumat, ilmu dan pengalaman daripada penyelidik­an dan pemantauan dapat dikongsika­n untuk manfaat bersama bagi meningkatk­an kualiti dan kecekapan pengurusan risiko bencana alam di Malaysia.

Selain itu, beliau turut memberitah­u bahawa UMS menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0 dengan menggunaka­n pelbagai bentuk teknologi berkaitan seperti penggunaan teknologi maklumat (IT), revolusi digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi robotik automasi, teknologi penyimpana­n dan pemprosesa­n data untuk menangani isu bencana alam.

“Diharapkan pembanguna­n sistem pengurusan risiko bencana sedia ada dapat diperkemba­ngkan dan memberi maklumat yang proaktif dan tepat kepada masyarakat,” katanya.

Seramai 43 penyelidik daripada pelbagai universiti tempatan di seluruh negara serta agensi awam dan swasta menyertai seminar berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia