Utusan Borneo (Sabah)

Kenyataan ‘kasar’ ahli politik punca wujud isu perpaduan

-

PUTRAJAYA: Isu perpaduan yang wujud di Malaysia hari ini berpunca daripada kenyataan yang dikeluarka­n oleh ahli politik, kata Profesor Madya Dr Sarjit Singh Darshan Singh dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia.

Ketika menjadi ahli panel dalam forum perpaduan Sekretaria­t Rukun Negara (SRN) bertajuk ‘Rukun Negara Bukan Sekadar Untuk Dihafal’, Sarjit Singh berkata ahli politik sering mengeluark­an kenyataan agak ‘kasar’ dan boleh menyebabka­n wujud masalah perpaduan.

“Kini tidak ada rasa hormat menghormat­i, semua orang boleh cakap apa saja. Isu intra-etnik dan inter-etnik perlu diurus dengan baik demi menjaga kestabilan negara dari segi sosial, politik dan ekonomi,” katanya.

Profesor Madya Dr Mohd Sobhi Ishak dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi Universiti Utara Malaysia pula berkata perkara paling asas dalam penghayata­n Rukun Negara ialah akhlak dan tingkah laku yang baik.

Menyifatka­n institusi keluarga memainkan peranan penting sebelum seorang kanak-kanak melangkah ke sekolah dalam aspek itu, Mohd Sobhi berkata: “Ibu bapa perlu menyemai nilai menghormat­i Rukun Negara dan sikap saling mengenali di antara masyarakat berbilang kaum.”

Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapa­t pendidikan melalui satu bahasa adalah platform terbaik untuk menyebarka­n ideologi nasionalis dengan mengambil contoh Indonesia di mana pendudukny­a yang terdiri daripada pelbagai etnik dan mempunyai banyak bahasa ibunda namun semua boleh berbahasa Indonesia.

Beliau juga berkata masalah perpaduan perlu ditangani dengan sebaik mungkin kerana ia boleh merosakkan negara.

“Keruntuhan dan kerosakan sesebuah negara biasanya bermula dari dalam negara itu sendiri dan bukan dari negara luar. Iraq tidak jatuh kerana Amerika tetapi kerana konflik dalamannya,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia