Utusan Borneo (Sabah)

Spurs tanpa khidmat Lloris hingga hujung tahun ini

-

LONDON: Penjaga gol Tottenham Hotspur Hugo Lloris tidak akan bermain lagi pada tahun ini selepas dia terkehel siku dalam kekalahan yang buruk di Brighton pada Sabtu lepas.

Lloris diusung keluar dari padang sambil meraung kesakitan setelah dia gagal untuk menangkap kemas bola hantaran lintang sebelum dia terjatuh ke belakang dengan teruk dan dibolosi gol pembukaan Brighton di stadium Amex.

“Hugo Lloris sudah menjalani penilaian selanjutny­a pada pagi ini setelah terkehel siku dalam perlawanan kami menentang Brighton pada Sabtu lepas,” Tottenham menyebut dalam satu kenyataan kelmarin.

“Penemuan menunjukka­n, walaupun pembedahan tidak perlu dibuat, kapten kelab kami telah mengalami kerosakan ligamen dan dijangka tidak akan kembali berlatih semula sebelum hujung tahun 2019.

“Hugo kini memakai pendakap dan kini akan menjalani tempoh berehat dan pemulihan di bawah penyeliaan kakitangan perubatan kami di Hotspur Way.”

Berita itu merupakan satu lagi tamparan hebat kepada harapan Tottenham untuk mengubah hala tuju yang buruk sejak awal musim.

Pemain Mauricio Pochettino memenangi hanya tiga sahaja daripada 11 perlawanan pembukaan mereka dalam semua pertanding­an dan dibelasah 7-2 di tempat sendiri oleh Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara pada minggu lepas.

Penjaga gol dari Argentina Paulo Gazzaniga kini akan menggalas tugas sebagai penjaga gol pilihan utama Pochettino bagi masa depan yang terdekat.

Lloris juga tidak akan bermain dalam kelayakan Euro 2020 untuk Perancis menentang Iceland, Turki, Albania dan Moldova.

“Ia adalah sukar untuk menyatakan berapa lama sebenarnya dia tidak akan dapat bermain,” kata pengurus Perancis Didier Deschamps kelmarin.

“Apa yang penting bagi kami sekarang ialah dia tidak akan bersama kami bagi pusingan perlawanan ini atau bagi pusingan seterusnya.” — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia