Waris mangsa kemalangan maut di Kg Cocos Lahad Datu dicari polis

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan - Oleh Norwahida Yamaluddin

LAHAD DATU: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris mangsa kemalangan maut di Kampung (Kg) Cocos, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sehingga kini belum ada waris mangsa yang tampil.

“Pihak polis tidak dapat mengenal pasti identiti mangsa kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa ketika kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Berhubung sekeping gambar wanita yang dijumpai di dalam dompet mangsa, Nasri berkata wanita itu juga tidak dapat dikesan.

Katanya, wanita terbabit tidak diketahui siapa namun beliau pasti dia merupakan seorang yang penting kepada mangsa kerana gambarnya ada di dalam dompet mangsa.

Dalam kejadian Isnin lepas, mayat seorang lelaki dengan kesan luka di kepala ditemui orang ramai di dalam parit di tepi jalan Batu 6, Jalan Utama Kg Cocos.

Polis mengklasif­ikasikan kes kemalangan jalan raya selepas seorang mekanik berumur 54 tahun disyaki melanggar mangsa tampil menyerah diri.

Hasil siasatan, kejadian berlaku ketika suspek yang memandu kenderaan jenis Toyota Rav4 sedang dalam perjalanan dari Lahad Datu menuju ke rumahnya di Kg Cocos pada Ahad jam 9.30 malam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

DICARI: Gambar wanita yang berada di dalam dompet mangsa.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.